SHAH ALAM – SALAM Shah Alam Specialist Hospital melancarkan aplikasi mudah alih SALAM Hospitals sebagai usaha memperkukuh transformasi digital serta meningkatkan pengalaman pesakit mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah, pantas dan efisien.
Pelancaran aplikasi itu diadakan bersempena Hari Penghargaan Warga Kerja SALAM Shah Alam Specialist Hospital di De Palma Hotel, di sini, pada 16 Julai lalu.
Majlis tersebut disempurnakan Pengarah Eksekutif Kumpulan SALAM Group Hospitals, Maslina Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Akim Affandi Ahmad, Pengarah Perubatan merangkap Pakar Pediatrik, Dr Mohamed Nazir Abu Bakar dan Pengurus Komersial SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Ahmad Ramli Maryakon.
Aplikasi SALAM Hospitals dibangunkan bagi memudahkan orang ramai mengakses pelbagai perkhidmatan hospital menerusi satu platform digital yang mesra pengguna.
Antara fungsi yang ditawarkan termasuk tempahan janji temu, semakan maklumat doktor pakar, akses kepada promosi terkini serta pelbagai kemudahan lain yang direka bagi memberikan pengalaman penjagaan kesihatan yang lebih lancar.
Pelancaran aplikasi berkenaan mencerminkan komitmen SALAM Shah Alam Specialist Hospital dalam memanfaatkan teknologi bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin berkembang, selaras dengan usaha menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, mudah diakses dan berorientasikan pesakit.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menjadi simbol penghargaan kepada seluruh warga kerja SALAM Shah Alam Specialist Hospital atas dedikasi dan komitmen mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Pada masa sama, pelancaran aplikasi SALAM Hospitals menandakan satu lagi pencapaian penting hospital dalam memperkasa inovasi digital demi manfaat pesakit.
Orang ramai boleh memuat turun aplikasi SALAM Hospitals menerusi Google Play Store dan Apple App Store bagi menikmati pengalaman mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah pada bila-bila masa dan di mana sahaja.