SHAH ALAM - Persatuan Kanser KanWork menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 500 peserta dalam program 'KanWork Fun Walk 2026' yang akan berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 29 Ogos depan.
Pengarah program, Badrulhaisham Shamsuedin berkata, penganjuran edisi keenam program berjalan kaki itu bukan sekadar menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi platform menghimpunkan masyarakat untuk bersama-sama menyokong pejuang kanser serta penjaga mereka.
"Kami berharap lebih ramai masyarakat daripada pelbagai lapisan tampil menyertai program ini sebagai tanda solidariti kepada pejuang kanser, di samping membudayakan amalan hidup sihat melalui aktiviti berjalan kaki," katanya pada Isnin.
Menurut Badrulhaisham, program yang bakal disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin selaku Penaung Diraja Persatuan Kanser KanWork itu akan bermula pada jam 7.30 pagi.
Menurutnya, peserta boleh memilih laluan sejauh tiga kilometer (km) atau lima km mengikut kemampuan masing-masing, selain menyertai secara individu atau berkumpulan.
"Yuran penyertaan ialah RM50 bagi ahli, RM55 bagi pelajar dan RM60 bagi peserta awam, manakala penyertaan berkumpulan lima orang masing-masing ditawarkan pada kadar RM240, RM265 dan RM290 mengikut kategori.
"Bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan, kami turut mengadakan pertandingan Pakaian Paling Kreatif Bertemakan Merdeka dengan hadiah menarik menanti peserta yang menampilkan kreativiti terbaik," ujarnya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, penganjuran KanWork Fun Walk 2026 mendapat kerjasama UPM, War on Cancer Malaysia, Pointray (Malaysia) Sdn Bhd dan Tenaga Nasional berhad (TNB).
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan syarikat korporat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai menerusi pakej penajaan yang disediakan bagi menjayakan program berkenaan.
"Semua sumbangan kepada Persatuan Kanser KanWork layak mendapat pelepasan cukai. Kami juga mengalu-alukan individu yang ingin menyumbangkan kepakaran, pengalaman, masa dan tenaga sebagai sukarelawan untuk memperkukuh usaha persatuan membantu komuniti kanser," katanya.
Pendaftaran ditutup pada 1 Ogos 2026 dan orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-22-8672 atau layari laman sesawang Persatuan Kanser KanWork.