TAMPIN - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan bahawa kerajaan pimpinannya tidak menjaga kepentingan kumpulan bumiputera, khususnya masyarakat Melayu.
Beliau berkata, antara langkah yang diambil kerajaan ialah mewujudkan tanah rizab Melayu baharu di Kuala Lumpur selepas mendapati jumlah tanah berkenaan semakin berkurangan.
"Sejak merdeka pada 1957, tidak ada tanah rizab Melayu baharu di Kuala Lumpur … yang ada semua yang dijual. (Apabila) saya ambil alih (kepimpinan negara) pada 2022, pada 2023 kita rampas tanah Bandar Malaysia 480 ekar (194.3 hektar) (yang sebelum ini) menjadi milik negara China dan syarikat (swasta). Saya rampas sebab perkara ini langgar peraturan.
"Apabila saya rampas, saya ambil alih untuk dijaga oleh Petronas dan Khazanah (Nasional) kerana ada badan yang dikuasai oleh Melayu. Dalam kawasan itu, 50 ekar (20 hektar) saya buat rizab (tanah Melayu), tanah yang paling berharga di Kuala Lumpur,” kata beliau ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, cadangan itu turut tidak mendapat bantahan daripada DAP ketika dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Beliau berkata, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan hanya bertanyakan alasan perkara itu mahu dilaksanakan kerajaan.
"Saya kata sebab tanah Melayu di Kuala Lumpur itu makin meleset. Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan tanda yang jelas. Dia (Loke) berkata okey.
"Mesyuarat Jemaah Menteri tidak ada yang bantah. Jadi, kali pertama dalam sejarah sejak Merdeka (pada) 1957, Kerajaan MADANI mengisytiharkan tanah paling berharga di Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu,” kata beliau. - Bernama