PALESTIN - Dua masjid di Tebing Barat dibakar oleh penjajah Israel awal pagi Ahad, ketika keganasan di wilayah itu terus memuncak susulan pertempuran yang meragut enam nyawa minggu ini.
Datuk Bandar Qusra, Abdel Azim Wadi berkata, sebuah masjid yang masih dalam pembinaan di bahagian selatan bandar itu dibakar sehingga memusnahkan pintu masuk serta merosakkan struktur batu bangunan berkenaan.
Beliau berkata, penyerang turut menyembur grafiti dalam bahasa Ibrani pada dinding masjid, termasuk perkataan"balas dendam".
Tentera Israel mengesahkan anggotanya dihantar ke pinggir Qusra selepas menerima laporan mengenai kejadian itu.
Menurut tentera, suspek telah melarikan diri sebelum pasukan keselamatan tiba di lokasi, manakala kesan kebakaran dan grafiti ditemui di tempat kejadian.
Polis negara haram Israel kini menjalankan siasatan serta mengumpul bukti.
Dalam kejadian berasingan, peneroka Israel turut membakar sebuah lagi masjid di perkampungan Kour, berhampiran Tulkarem, selain menconteng slogan berbaur perkauman pada dinding bangunan itu, menurut Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin.
Kementerian itu mengesahkan kumpulan peneroka bertanggungjawab membakar masjid berkenaan serta meninggalkan slogan berunsur perkauman.
Pertempuran tersebut telah ragut enam nyawa.
Pada Jumaat lalu, pertempuran antara penjajah Israel dan penduduk Palestin di Kampung Tell mengorbankan empat rakyat Palestin serta dua warga Israel.
Susulan kejadian itu, tentera Israel melancarkan operasi yang disifatkannya sebagai operasi membanteras keganasan di bandar Nablus dan beberapa kawasan berhampiran, dengan puluhan rakyat Palestin ditahan.
Seorang wartawan AFP melaporkan keadaan di Nablus pada Sabtu hampir lumpuh apabila bekalan bahan api semakin berkurangan sehingga menyebabkan barisan panjang kenderaan di stesen minyak.
Lewat Ahad, tentera Israel memaklumkan lebih 130 individu dikehendaki ditahan di seluruh Tebing Barat sepanjang hujung minggu.
Menurut tentera, mereka yang ditahan termasuk penyeludup senjata, anggota Hamas, individu yang didakwa menghasut keganasan serta suspek yang dipercayai merancang serangan.
Tentera turut memaklumkan operasi dijalankan di ratusan lokasi dengan ratusan individu disoal siasat.
Selain itu, rumah dua rakyat Palestin yang didakwa terbabit dalam pertempuran Jumaat lalu turut dipetakan sebagai sebahagian daripada tindakan susulan pihak tentera.
Pada Ahad, upacara pengebumian Mejar Yuval Ezra, salah seorang daripada dua warga Israel yang terbunuh dalam pertempuran itu, turut diadakan selepas pengebumian empat lelaki Palestin dilaksanakan pada Sabtu.
Sejak perang Gaza tercetus 7 Oktober 2023, sekurang-kurangnya 1,097 rakyat Palestin, termasuk anggota kumpulan bersenjata, terbunuh akibat tindakan tentera atau peneroka Israel, menurut angka pihak Palestin.
Data rasmi Israel pula menunjukkan sekurang-kurangnya 48 rakyatnya, termasuk orang awam dan anggota keselamatan, terbunuh dalam serangan oleh rakyat Palestin atau semasa operasi ketenteraan Israel.
Tidak termasuk Baitulmaqdis Timur,, kira-kira tiga juta rakyat Palestin tinggal di Tebing Barat bersama lebih 500,000 penduduk Israel yang menetap di penempatan yang dikategorikan haram di sisi undang-undang antarabangsa. — AFP