Perolehan pertahanan G2G Malaysia tarik minat negara luar - Mohamed Khaled

Iklan
Mohamed Khaled Nordin (dua dari kiri) bersalaman dengan pemenang cabutan bertuah sempena Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Sirusa di sini pada Ahad.

PORT DICKSON – Semakin banyak negara menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama perolehan pertahanan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama Malaysia, susulan pendekatan baharu yang diperkenalkan bagi memastikan urusan lebih telus, menjimatkan kos dan memberi manfaat kepada industri pertahanan tempatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini Malaysia telah memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Turki dan Korea Selatan bagi melaksanakan kaedah perolehan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, beberapa negara lain termasuk Itali dan Perancis turut menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama sama dengan Malaysia.

"Kalau dahulu semua dibuat secara tender melibatkan syarikat pengeluar asal (OEM) atau ejen, tetapi kali ini kita laksanakan secara terus antara kerajaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Sirusa di sini pada Ahad.

Menurut Mohamed Khaled, pemilihan negara rakan kerjasama bukan hanya berdasarkan harga yang ditawarkan, sebaliknya turut mengambil kira kesediaan mereka memindahkan teknologi kepada Malaysia.

Iklan

Katanya, kerajaan mahu memastikan negara yang dipilih mempunyai hubungan yang boleh dipercayai serta bersedia membantu membangunkan industri pertahanan tempatan.

"Kita mahu negara yang kita berurusan itu boleh dipercayai dan bersedia memindahkan teknologi kepada negara kita. Itu antara kriteria penting yang kita gunakan," katanya.

Beliau berkata, pendekatan G2G juga membolehkan Malaysia memperoleh jaminan bekalan aset pertahanan kerana ia disokong secara langsung oleh kerajaan negara terbabit.

"Menerusi kaedah ini bukan sahaja kita memperoleh harga yang berpatutan, malah turut mendapat jaminan bekalan kerana ada komitmen daripada kerajaan yang kita berurusan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kaedah G2G turut mengurangkan penglibatan orang tengah sekali gus meningkatkan ketelusan dalam proses perolehan.

Menurutnya, spesifikasi setiap aset pertahanan pula tetap ditentukan oleh cabang perkhidmatan ATM mengikut keperluan operasi dan bukannya diputuskan secara sewenang-wenangnya oleh kerajaan.

"Perkhidmatan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara yang menetapkan spesifikasi aset yang diperlukan. Kerajaan hanya melaksanakan proses perolehan berdasarkan keperluan yang ditentukan," katanya.