Ketagihan gajet ancam generasi, Rumah Ngaji Kelantan seru kembali kepada al-Quran

Iklan
Sebahagian daripada mereka yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan PRNNK Kali Ke-7 yang berlangsung di Hotel Citra Kadok, Kota Bharu pada Sabtu.

KOTA BHARU – Ketagihan penggunaan gajet yang semakin membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan keluarga menjadi antara fokus utama Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) apabila menyeru masyarakat kembali mendekati al-Quran sebagai benteng membina generasi berakhlak.

Pengerusi PRNNK, Datuk Adnan Hashim berkata, usaha memperkasakan budaya baca, faham dan amal al-Quran perlu digerakkan secara lebih agresif menerusi rangkaian Rumah Ngaji di seluruh Kelantan bagi menangani pelbagai cabaran sosial semasa.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, semua pengusaha Rumah Ngaji perlu memainkan peranan lebih aktif dalam merealisasikan visi dan misi persatuan supaya lebih ramai masyarakat kembali membaca, memahami serta menyampaikan kalam ALLAH kepada umat Islam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PRNNK Kali Ke-7 yang berlangsung di Hotel Citra Kadok di sini pada Sabtu.

Iklan

Mesyuarat itu diadakan secara sederhana tanpa pembubaran atau pemilihan jawatankuasa baharu, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembentangan laporan aktiviti tahunan serta prestasi kewangan persatuan berakhir 31 Disember 2025.

Majlis turut diserikan dengan deklamasi puisi perjuangan yang disampaikan Timbalan Pengerusi Biro Dakwah PRNNK, Siti Esah Yusoff, yang menyentuh semangat dakwah, pengorbanan dan kesatuan ummah dalam menyebarkan syiar al-Quran.

Iklan

Sementara itu, kira-kira 90 perwakilan yang hadir turut mengikuti sesi motivasi bertajuk 'Cara Menangani Gejala Gajet' yang disampaikan Penasihat PRNNK, Nik Mat Nik Lid.

Beliau menekankan kepentingan mengimbangi penggunaan teknologi dengan aktiviti yang lebih membina, termasuk menjadikan al-Quran sebagai teman harian dan mengukuhkan institusi keluarga berteraskan nilai Islam.

Dalam pada itu, Adnan berharap segala resolusi yang diputuskan pada mesyuarat berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan lagi gerakan Rumah Ngaji di seluruh negeri.

"Semoga PRNNK terus istiqamah melahirkan masyarakat yang dekat dengan al-Quran serta menghayati prinsip baca, faham dan amal dalam kehidupan seharian," katanya.