Sonam Wangchuk suara Gen Z India

Iklan
Tindakan nekad beliau melancarkan mogok lapar telah meraih sokongan baharu golongan muda. - Foto Agensi

NEW DELHI - Aktivis gerakan 'lipas' India, Sonam Wangchuk akhirnya menamatkan mogok lapar selama 26 hari sebagai membantah skandal kebocoran kertas peperiksaan yang telah berkembang menjadi gelombang protes besar-besaran dipimpin golongan belia terhadap kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi.

Wangchuk, 60, membuat keputusan itu kerana bimbang pihak berkuasa meneruskan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan selepas demonstrasi bertukar ganas susulan pertempuran tercetus.

Iklan
Iklan

Beliau juga menafikan laporan telah mencapai perjanjian dengan kerajaan.

"Matlamat utama saya adalah untuk memastikan demonstran tidak menjadi mangsa keganasan atau berdepan tindakan undang-undang," menurut video di YouTube.

Iklan

Selepas hampir sebulan berlapar, Wangchuk kelihatan lemah tetapi masih bersemangat. Beliau melancarkan mogok lapar pada 28 Jun lalu sebagai tanda solidariti bersama Parti Rakyat Lipas (CJP).

Pengasas parti satira itu, Abhijeet Dipke turut memuji keberanian dan pengorbanan Wangchuk. Demonstrasi sejak awal minggu lalu itu bagaimanapun akan diteruskan sehingga Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan meletak jawatan.

Iklan

"Kami tidak akan membiarkan perjuangan beliau menjadi sia-sia," ujarnya.

Gerakan 'lipas' menuntut pengunduran Pradhan berhubung kebocoran kertas peperiksaan yang menjejaskan kira-kira dua juta pelajar pada Mei lalu selain meragut lebih 10 nyawa.

Pejuang pendidikan

Protes gerakan 'lipas' itu diteruskan sehingga Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan meletak jawatan. - Foto Agensi

Tokoh masyarakat paling berpengaruh dari Ladakh itu dikatakan menjadi inspirasi kepada watak utama, Phunsukh Wangdu/Rancho dalam filem Bollywood terkenal 3 Idiots (2009) kerana pendekatannya yang kreatif terhadap pendidikan dan kepercayaan bahawa pembelajaran tidak sepatutnya hanya berasaskan peperiksaan.

Beliau juga lebih dikenali menerusi perjuangannya dalam isu akademik dan kepentingan komuniti di wilayah Himalaya tersebut yang bersempadan dengan China.

Tindakan nekad beliau melancarkan mogok lapar telah meraih sokongan baharu golongan muda, sekali gus membantu mengubah isu tersebut menjadi gerakan lebih besar yang dipelopori Gen Z.

Ada pihak mula membandingkan Wangchuk dengan tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi yang menggunakan kaedah perjuangan sama beberapa kali.

Beliau turut menerima pelbagai mesej sokongan dalam bentuk video dan teks dari seluruh negara termasuk daripada beberapa pelakon Bollywood.

"Saya berasa terharu apabila ada yang menggelar saya sebagai Gandhi abad ke-21, tetapi bagi saya beliau tetap merupakan wira sebenar," katanya di lokasi protes Jantar Mantar, New Delhi, baru-baru ini.

Dilahirkan di kampung terpencil Ulaytokpo di Ladakh pada 1966. Beliau tidak mendapat pendidikan secara formal sehingga usia sembilan tahun kerana ketiadaan sekolah di kawasan terpencil Ladakh. Pengalaman itu mendorong beliau memperjuangkan sistem pendidikan yang lebih inklusif dan praktikal.

Bagi membantu ratusan pelajar, Wangchuk pernah mengendalikan program tuisyen bagi mata pelajaran asas seperti bahasa Inggeris dan matematik pada usia 19 tahun ketika masih menuntut di Institut Teknologi Kebangsaan di Kashmir.

Beliau kemudiannya menubuhkan Gerakan Pendidikan dan Kebudayaan Pelajar Ladakh (SECMOL), sebuah organisasi yang memberi tumpuan kepada pembaharuan pendidikan dan pembangunan belia di Ladakh.

Perjuangan Wangchuk dalam bidang pendidikan dan alam sekitar membuktikan keupayaannya menjadi suara perubahan untuk mencabar sistem demi kepentingan generasi akan datang. - Agensi

Info

>Beliau memperkenalkan konsep Ice Stupa, inovasi berbentuk kon yang menyimpan air beku daripada musim sejuk untuk digunakan semula ketika musim bunga. Teknologi ini membantu komuniti petani di Ladakh menghadapi masalah kekurangan air apabila sumber semula jadi semakin terhad.

>Sebelum isu kebocoran peperiksaan, Wangchuk juga pernah melancarkan mogok lapar berhubung tuntutan perlindungan alam sekitar dan hak masyarakat Ladakh.

>Beliau membantu pembangunan kampus pendidikan yang menggunakan tenaga solar, reka bentuk bangunan menjimatkan tenaga dan pendekatan mesra alam yang sesuai dengan cuaca ekstrem Ladakh.

>Digelar sebagai 'jurutera inovasi sosial'.

>Pada 2018, beliau dianugerahkan Anugerah Ramon Magsaysay dianggap sebagai Hadiah Nobel Asia atas sumbangannya melalui usaha pembaharuan sistem pendidikan dan projek pemuliharaan air di kawasan gurun tanah tinggi Ladakh.

>Bapanya, Sonam Wangyal pernah menjadi ahli politik dan menteri di wilayah Jammu dan Kashmir.