SEREMBAN - Perikatan Nasional (PN) tiada halangan untuk mana-mana individu termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk datang berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran Muhammad Sanusi bagi membantu kempen bergantung kepada kelapangan beliau sendiri.
"Tapi kita tiada halangan kepada sesiapa pun untuk datang berkempen dan saya percaya bergantung kepada Sanusi sama ada beliau dapat datang lagi atau tidak selepas ini," katanya selepas Melancarkan Manifesto PN Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional(BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyarankan supaya Muhammad Sanusi tidak lagi datang ke Negeri Sembilan untuk berkempen.
Ia selepas Pengarah Pilihan Raya PN itu dilaporkan memberi ucapan yang didakwa agak sensitif apabila dilaporkan menyebut,"Cina ada China, India ada India, Melayu hanya Tanah Melayu" ketika berkempen di Jempol baru-baru ini.
Ditanya sama ada cara ucapan Muhammad Sanusi itu boleh memberi kesan kepada sokongan pengundi bukan Melayu, beliau berkata, Menteri Besar Kedah terbabit telah pun memberikan penjelasan.
"Saya rasa kita kena jelas apa yang sebenarnya disebut oleh beliau dan beliau akan menyaman mana-mana pihak yang memesongkan fakta yang disebut oleh beliau," katanya.
Dalam pada itu ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah PRN Negeri Sembilan Parti Wawasan Negara, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan disingkirkan daripada PN, Ahmad Samsuri menjelaskan, bukan kuasanya sebagai Pengerusi PN untuk membuat keputusan, tetapi itu adalah kuasa bersama muafakat dalam PN.