SHAH ALAM - Tindakan DAP dan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa menggunakan kad rasis dalam kempen pilihan raya kini memakan dirinya apabila pendekatan tersebut tidak lagi diterima masyarakat Cina.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, parti terbabit terpaksa berbuat sedemikian dengan sasaran mahu menjarakkan golongan bukan Islam dengan gagasan penyatuan ummah.
Menurutnya, mereka sedar secara asasnya tidak mudah untuk melawan arus gelombang sokongan rakyat Melayu-Islam mahupun bukan Islam terhadap penyatuan ummah dua parti terbesar dalam negara ini.
"Maka, pembingkaian isu 3R serta senjata 'rasisme' dieksploitasi sepenuhnya bagi menggoncang kesepaduan yang telah terbentuk sejak daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
"Kita tidak perlu mengulangi kenyataan-kenyataan pemimpin DAP terhadap isu rasisme. Mereka pernah mendakwa penyatuan ummah sebagai 'talibanisme' suatu ketika, bahkan mempertikai kedudukan Tanah Melayu sebagai tanah asal orang Melayu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun, Khairul Nadzir memaklumkan, tiada satu pun yang dikenakan di bawah Akta Hasutan disebabkan oleh kekebalan undang-undang yang dimiliki.
Beliau memberitahu, DAP dan PH terpaksa memastikan pembingkaian rasisme terhadap parti Melayu Islam diterima oleh rakyat khususnya golongan bukan Islam, meskipun hakikatnya DAP sendiri bukanlah parti yang mewakili golongan Cina.
Bagaimanapun, menurutnya lagi, masyarakat Cina sebahagian besarnya telah sedar mereka termakan hasutan dan fitnah yang ditabur oleh pemimpin DAP terhadap mereka.
"Tidak pelik bagaimana DAP kehilangan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) serta PRN Johor baru-baru ini. Retorik politik perkauman yang mensasarkan Melayu-Islam serta anti Gelombang Hijau selama ini hanya memakan diri kerana ia tidak lagi diterima oleh masyarakat Cina," ujarnya lagi.
Beliau mendakwa, kegagalan PH menguasai pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sembilan menangani kos sara hidup, bahkan menunaikan janji-janji manifesto dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menjadi faktor utama penolakan masyarakat Cina terhadap DAP.
"Janji menghapuskan tol sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) turut diulangi dalam PRU15 oleh pemimpin utama DAP ketika itu masih tidak terlaksana sehingga ke hari ini.
"Bukan sahaja janji tersebut dicapati oleh pemimpin DAP, malah sistem kenaan caj tol kelihatannya lebih canggih berbanding sebelumnya," jelasnya lagi.
Menurut Khairul Nadzir, naratif perkauman yang dicetuskan oleh pemimpin DAP ini hanya memakan diri kemudiannya, sedangkan Pas masih kekal dengan prinsip yang adil kepada semua tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.