Penunggang motosikal korban tertinggi di Selangor

Iklan
Penunggang motosikal kekal sebagai kumpulan paling terdedah dengan risiko kemalangan di jalan raya apabila merekodkan 70.18 peratus daripada 400 kes kematian. Gambar kecil Ka Foo

SHAH ALAM - Penunggang motosikal kekal sebagai kumpulan paling terdedah dengan risiko kemalangan di jalan raya apabila merekodkan 70.18 peratus daripada 400 kes kematian sepanjang Januari hingga Jun tahun ini di Selangor.

Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri, Chong Ka Foo berkata, situasi lebih membimbangkan apabila jumlah motosikal yang terlibat dalam kemalangan mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 10.01 peratus, meningkat kepada 13,928 berbanding tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, berdasarkan laporan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya di negeri itu meningkat sebanyak 3,350 kes atau 3.61 peratus dalam tempoh yang sama berbanding tahun 2025.

"Peningkatan itu didorong oleh pertambahan kes kemalangan melibatkan kerosakan kenderaan sahaja yang meningkat sebanyak 3,409 kes atau 3.72 peratus, sekali gus menyumbang 98.92 peratus daripada keseluruhan peningkatan kemalangan.

Iklan

"Sebaliknya, semua kategori kecederaan termasuk kes maut, kematian, parah dan ringan mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Ka Foo berkata, MKJR Selangor mengambil inisiatif memperhebat usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dengan memanfaatkan paparan mesej keselamatan melalui skrin LED digital di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) serta platform media sosial agensi.

Iklan

"Usaha-usaha ini perlu dibudayakan bagi memastikan mesej tersebut dapat disebar luaskan kepada para pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan kes kemalangan jalan raya di negeri Selangor," katanya.