UMNO Hulu Terengganu bawa usul kaji kerjasama politik dengan Pas

Iklan
Usul berkenaan diterima sebulat suara pada Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Bahagian Hulu Terengganu pada Jumaat.

​HULU TERENGGANU – UMNO Bahagian Hulu Terengganu mengemukakan usul supaya kepimpinan tertinggi parti mengkaji sebarang bentuk kerjasama politik secara harmoni, anjal, dan fleksibel dengan Pas demi memperkukuhkan kedudukan orang Melayu serta kestabilan negara.

Usul berkenaan diterima sebulat suara pada Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Bahagian Hulu Terengganu pada Jumaat untuk dipertimbangkan di peringkat persidangan bahagian sebelum dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan datang.

Iklan
Iklan

Pencadangnya, Baharu Abdul Ghani berkata, usul berkenaan dibawa bagi memastikan perpaduan ummah, memelihara kepentingan Islam mengikut Perlembagaan Persekutuan, serta jaminan kestabilan politik dapat dicapai secara matang.

Menurutnya, usul tersebut bukannya bertujuan menggadaikan prinsip, identiti UMNO atau memaksa parti menerima mana-mana bentuk kerjasama, sebaliknya sebagai langkah menilai pilihan strategik berpandukan realiti politik semasa.

Iklan

​"Landskap politik Malaysia telah berubah dan tiada lagi parti yang boleh bergantung semata-mata kepada kekuatan tradisi. Pertandingan pelbagai penjuru dalam pilihan raya sebelum ini kerap menyebabkan undi berpecah, sekali gus memberi kelebihan kepada pihak lain.

"Adalah munasabah untuk parti menilai ruang kerjasama yang boleh mengurangkan pertembungan jika ia benar-benar membawa manfaat kepada rakyat dan parti," katanya.

Iklan

​Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang bentuk kerjasama politik pada masa hadapan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru dan mesti berteraskan pertimbangan yang jelas.

Sehubungan itu, katanya, lima teras utama telah diperincikan iaitu menghormati sepenuhnya identiti, sejarah, dan perjuangan UMNO; membina kerjasama atas dasar saling menghormati serta menghentikan budaya menyerang sesama sendiri.

Selain itu membahagikan kerusi secara objektif berdasarkan kekuatan sebenar; memastikan semua keputusan besar dibuat menerusi saluran parti dengan mengambil kira pandangan akar umbi serta memfokuskan kerjasama kepada penyelesaian isu rakyat seperti ekonomi, pekerjaan, pendidikan, kos sara hidup dan kestabilan negara.

​Di samping itu, UMNO Hulu Terengganu turut mencadangkan agar lebih ramai calon yang berwibawa, berintegriti, berpendidikan, serta diterima rakyat sama ada dalam kalangan pemimpin muda mahupun yang berpengalaman diketengahkan dalam proses penerokaan hala tuju politik parti.

​Sambil menyifatkan usul berkenaan bukan bertujuan menentukan pihak kawan atau lawan, beliau menjelaskan bahawa ia sekadar memberi ruang kepada kepimpinan tertinggi parti untuk menilai semua pilihan secara matang.

"Sekiranya kerjasama itu memberi manfaat, ia wajar dipertimbangkan melalui proses parti yang sah, namun jika sebaliknya, UMNO hendaklah terus berdiri teguh dengan prinsip dan identitinya," katanya.