PEKAN – UMNO perlu melakukan perubahan dengan tidak lagi bergantung pada sejarah, sebaliknya membuktikan kemampuan menerusi pendekatan berasaskan prestasi dalam landskap politik yang semakin mencabar.
Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kemunculan pelbagai parti ketika ini menjadikan persaingan politik semakin terbuka, sekali gus menuntut UMNO lebih memahami denyut nadi serta keperluan rakyat.
Menurutnya, parti yang mampu mengetahui kesusahan rakyat dan menawarkan penyelesaian terhadap perkara yang dekat dengan kehidupan mereka akan terus menjadi pilihan masyarakat.
“Jadi, parti yang boleh tahu denyut nadi rakyat, memahami kesusahan serta keperluan mereka dan berlandaskan prestasi, itulah parti yang akan menjadi sandaran kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini pada Sabtu.
Mesyuarat perwakilan itu dirasmikan Ahli Majlis kerja tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Sehubungan itu, Mohammad Fakhruddin menyeru ahli UMNO di semua peringkat supaya mengetepikan perbezaan pandangan dan memperkukuh saf kepimpinan bagi memastikan gerak kerja parti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, pendekatan turun padang perlu diperkasakan dengan menjejaki setiap lapisan masyarakat bagi mengenal pasti permasalahan serta keperluan sebenar mereka.
"Dalam ucapan saya tadi, saya nak kita ketepikan pandangan masing-masing supaya merapatkan saf. Apabila bekerja, kita perlu turun padang dan mendekati rakyat.
“Kita nak pergi setiap rumah dan tahu apa masalah kehidupan mereka, termasuk anak yang tidak bekerja, perniagaan kecil-kecilan yang perlukan peralatan, rumah yang bocor serta keperluan bantuan.
“Kita mahu pendekatan berteraskan rakyat dan kita nak jadi kerajaan yang cakna dan prihatin kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pendekatan berasaskan prestasi itu perlu diterjemahkan menerusi usaha mengurangkan beban kehidupan rakyat termasuk penyediaan rumah mampu milik.
Menurutnya, Kerajaan Pahang sebagai contoh menyediakan kediaman dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran bagi membantu rakyat memiliki rumah.
“Hari ini contoh Pahang, kita buat rumah mampu milik ini yang biasa RM400,000, tapi kita buat harga rumah itu RM150,000.
“Kalau RM400,000, bulanan dekat RM2,000. Jadi RM700 sebulan itu kalau pinjam bank, itu mengurangkan kos kehidupan pada mereka,” katanya.