KUALA LUMPUR – Yayasan Amal Maaedicare (Maaedicare) terus memperkukuh komitmennya dalam menyediakan akses kepada rawatan kesihatan berkualiti untuk golongan memerlukan apabila berjaya mengumpulkan kira-kira RM700,000 menerusi majlis kutipan dana tahunan 'A Night of Hope & Healing: Shine a Light, Save a Life' pada Jumaat.
Program itu menghimpunkan rakan korporat, penyumbang, tetamu kenamaan serta para penyokong bagi mengumpul dana untuk pelbagai inisiatif kebajikan kesihatan yang dilaksanakan yayasan berkenaan.
Pengerusi Yayasan Amal Maaedicare, Tunku Datuk Yaacob Khyra berkata, dana yang dikumpulkan akan disalurkan bagi membiayai rawatan dialisis bersubsidi, program bantuan pesakit, penggantian mesin dialisis lama, perkhidmatan diagnostik jantung mampu milik, Klinik Amal Percuma serta program saringan Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) berasaskan komuniti.
Menurut beliau, landskap penjagaan kesihatan negara yang semakin mencabar memerlukan organisasi kebajikan memberi tumpuan bukan sahaja kepada rawatan, malah pencegahan, pengesanan awal dan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang mampan.
“Penjagaan kesihatan hari ini bukan lagi sekadar merawat penyakit selepas ia berlaku, sebaliknya melibatkan pelaburan dalam aspek pencegahan, memperluaskan akses kepada rawatan berkualiti serta memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada perkhidmatan kesihatan asas.
Beliau berkata, penubuhan Maaedicare berpunca daripada keprihatinan terhadap golongan yang berada dalam kelompok pertengahan, iaitu mereka yang tidak cukup miskin untuk menerima bantuan penuh kerajaan, namun tidak mampu menanggung kos rawatan di hospital swasta.
“Golongan ini sering terperangkap antara dua keadaan sehingga gagal mendapatkan rawatan yang diperlukan. Atas sebab itulah Maaedicare ditubuhkan bagi membantu mereka memperoleh rawatan berkualiti pada kos yang mampu ditanggung,” katanya.
Menurut beliau, pertubuhan kebajikan seperti Maaedicare memainkan peranan penting melengkapkan usaha kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, terutama ketika jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dialisis terus meningkat saban tahun.
Beliau berkata, kerjasama antara organisasi kebajikan, kerajaan dan agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membolehkan lebih ramai pesakit menikmati rawatan berkualiti pada kadar yang jauh lebih rendah.
“Sebagai contoh, kos sebenar satu sesi rawatan dialisis ialah sekitar RM150, namun kebanyakan pesakit hanya perlu membayar kira-kira RM20 selepas menerima bantuan kerajaan dan agensi berkaitan.
“Kita perlu menghargai sokongan kerajaan Malaysia kerana bantuan ini membolehkan lebih ramai pesakit terus menerima rawatan tanpa dibebani kos yang tinggi,” katanya.
Tambah beliau, selain rawatan dialisis, Maaedicare kini memberi penekanan kepada penjagaan kesihatan pencegahan, termasuk pemeriksaan jantung mampu milik dan program saringan CKD di peringkat komuniti.
Katanya, langkah itu penting bagi mengesan penyakit lebih awal sekali gus mengurangkan keperluan pesakit menjalani rawatan yang lebih rumit dan mahal pada masa depan.
“Kita percaya rawatan terbaik ialah pencegahan. Pengesanan awal bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah mengurangkan beban kewangan pesakit serta sistem kesihatan negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan Maaedicare yang berjaya mengekalkan kos operasi pada kadar rendah sepanjang lebih tiga dekad penubuhan yayasan itu tanpa menjejaskan kualiti rawatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal Maaedicare, Anne Rajasaikaran berkata, setiap sumbangan yang diterima mampu memberi impak besar kepada kehidupan pesakit serta keluarga mereka.
“Setiap sumbangan bukan sekadar bantuan kewangan. Ia membantu pesakit meneruskan rawatan dialisis yang menyelamatkan nyawa, mendapatkan ubat-ubatan penting, menampung kos perjalanan ke pusat rawatan serta menerima penjagaan yang sewajarnya.
“Lebih penting, ia memberi harapan kepada individu dan keluarga yang sedang melalui saat sukar dalam kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini hampir 770 pesakit dialisis aktif menerima rawatan di 11 pusat dialisis amal Maaedicare yang beroperasi di sembilan negeri.
Menurutnya, sepanjang sedekad lalu, yayasan itu telah menyediakan lebih 1.2 juta sesi rawatan dialisis, manakala Pusat Diagnostik Jantung merekodkan lebih 13,000 kunjungan pesakit.
“Selain itu, tiga Klinik Amal Percuma kami menerima kira-kira 8,000 pesakit setiap tahun.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami turut memperluaskan fokus kepada penjagaan kesihatan pencegahan menerusi perkhidmatan diagnostik jantung mampu milik, program saringan CKD berasaskan komuniti serta pembukaan Klinik Amal Percuma ketiga di Nilai,” katanya.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.
Turut hadir, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo; Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh selain rakan korporat, penaja dan penyumbang.
Sejak ditubuhkan pada 1994, Maaedicare berkembang menjadi antara organisasi kebajikan kesihatan terkemuka di negara ini dengan mengendalikan 11 pusat dialisis di sembilan negeri, satu-satunya Pusat Diagnostik Jantung amal di Malaysia serta tiga Klinik Amal Percuma.
Yayasan itu telah memberi manfaat kepada lebih 35,000 pesakit dan akan terus memperluaskan usaha meningkatkan akses kepada rawatan mampu milik menerusi program pencegahan penyakit, saringan awal dan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak.