PASIR GUDANG- Kerjasama yang dijalin antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, hanyalah satu persefahaman politik bagi mengelakkan pertembungan, bukannya membentuk gabungan baharu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persefahaman itu adalah sebahagian daripada usaha menyatupadukan masyarakat Melayu, namun setiap parti yang terlibat masih mengekalkan pendirian dan pandangan masing-masing.
"Jadi, pihak-pihak lain jangan keliru dengan perkara ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, di sini, pada Sabtu.
Mohamed Khaled berkata, fenomena sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini turut dilihat mula berlaku di Negeri Sembilan apabila UMNO menjadi faktor pemusatan atau"pusat graviti" pengundi Melayu.
Beliau berkata, kejayaan BN di Johor turut didorong kekuatan jentera parti, sokongan pengundi muda serta pendekatan Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO bagi menghimpunkan masyarakat Melayu di bawah satu wadah.
Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk meramalkan sama ada persefahaman politik itu akan diterjemahkan kepada kemenangan dalam pilihan raya kerana perkara tersebut bergantung kepada penerimaan rakyat.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan usaha memperkukuh perpaduan orang Melayu tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
Katanya, UMNO dan BN kekal komited menghormati kepelbagaian kaum serta memastikan hak semua rakyat terus dipelihara dan menikmati manfaat daripada dasar kerajaan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.