Keluarga Rohingya bimbang nasib 500 mangsa bot hilang

Iklan
Lalu Begum (gambar kecil). - Agensi

COX'S BAZAR – Ratusan keluarga pelarian Rohingya kini hidup dalam kebimbangan selepas dua buah bot yang dipercayai membawa lebih 500 penumpang dilaporkan karam di laut, sekali gus mencetuskan kebimbangan tragedi itu mungkin mengorbankan sebahagian besar daripada mereka, lapor South China Morning Post.

Di kem pelarian Cox's Bazar, Bangladesh, ramai ahli keluarga masih menanti dengan penuh harapan walaupun peluang untuk menemui insan tersayang semakin tipis.

Iklan
Iklan

Bagi Lalu Begum, penantian itu menjadi detik paling menyeksakan apabila beliau tidak mengetahui sama ada anak lelakinya yang berusia 15 tahun, Jane Alam, masih hidup atau telah menjadi mangsa tragedi tersebut.

Lalu mendakwa anaknya diculik sindiket pemerdagangan manusia beberapa minggu sebelum dipaksa menyertai perjalanan laut yang dipercayai menuju ke Malaysia.

Iklan

"Sindiket itu menghubungi kami dan memberitahu bahawa jika mahu anak kami dipulangkan, kami perlu membayar wang tebusan," katanya.

Menurutnya, sindiket kemudian membenarkan Jane Alam bercakap melalui telefon.

Iklan

"Dia merayu supaya kami menghantar wang seperti yang diminta mereka," katanya.

Lalu berkata, sindiket pada mulanya menuntut bayaran sebanyak 150,000 taka (RM 4,977) sebelum memaklumkan mereka tidak lagi dapat membawa anaknya pulang selepas mendakwa sempadan telah ditutup.

"Mereka kemudian memberitahu anak saya tidak boleh dihantar pulang ke kem. Selepas itu kami langsung tidak menerima sebarang berita mengenainya," katanya.

Beliau kini hanya mampu berharap anaknya masih hidup dan berjaya diselamatkan.

Tragedi itu dipercayai membabitkan dua buah bot yang membawa ratusan pelarian Rohingya yang cuba meninggalkan Bangladesh bagi mencari kehidupan lebih baik di negara lain, termasuk Malaysia.

Ramai daripada mereka dipercayai mendapatkan khidmat sindiket penyeludupan manusia selepas hidup bertahun-tahun di kem pelarian yang sesak dengan peluang pekerjaan dan pendidikan yang amat terhad.

Pertubuhan kemanusiaan sebelum ini berulang kali memberi amaran bahawa sindiket pemerdagangan manusia terus mengeksploitasi pelarian Rohingya dengan menawarkan perjalanan keluar dari kem, sebelum memeras ugut keluarga mangsa bagi mendapatkan wang tebusan.

Mereka yang gagal membayar sering dipaksa menaiki bot dalam keadaan berbahaya atau menjadi mangsa penderaan serta eksploitasi.

Nasib lebih 500 penumpang yang dipercayai berada di atas bot berkenaan masih belum diketahui, manakala operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan.

Insiden itu sekali lagi menyerlahkan risiko besar yang terpaksa dihadapi pelarian Rohingya yang sanggup mempertaruhkan nyawa di laut demi mencari perlindungan dan masa depan yang lebih baik.- Agensi