KOTA BHARU – Barangan kitar semula yang diasingkan dan ditempatkan di pekarangan masjid bakal memberi peluang kepada golongan asnaf memperoleh pendapatan sampingan menerusi jualan bahan terpakai tanpa perlu menyelongkar timbunan sampah
Inisiatif dibangunkan 10 pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi projek rintis Rumah Sampah dan Kitar Semula di lima masjid terpilih iaitu Masjid Jamek Muhammadi, Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian, Masjid Jamek Ismail Petra Tanah Merah, Masjid Jamek Sultan Yahya Petra Machang dan Masjid Jamek Razaleigh Gua Musang.
Pengarah projek, Mohamad Irfan Salleh berkata, Rumah Sampah dan Kitar Semula berfungsi sebagai pusat pengumpulan bahan seperti kertas, plastik dan aluminium daripada orang ramai.
“Kaedah ini memberi ruang kepada asnaf mendapatkan bahan kitar semula yang lebih bersih untuk dijual, selain mengelakkan mereka daripada mencari barangan dalam tong sampah yang bercampur dengan sisa makanan.
“Rumah sampah ini dibina secara kekal dan berbumbung dengan kos sekitar RM20,000 seunit,” katanya ketika ditemui selepas perasmian projek di bawah Karnival Masjid Lestari di Masjid Jamek Muhammadi di sini pada Sabtu.
Projek dirasmikan Ketua Pegawai Baitulmal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Ridwan Abdul Rahman dan turut hadir Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Siswazah UKM-GSB, Ts Dr Mazllida Mat Deli.
Menurut Mohamad Irfan, pembinaan rumah sampah dan kitar semula itu dilaksanakan melalui tajaan awam Baitulmal MAIK.
“Kami mahu membudayakan pengasingan sisa serta amalan kitar semula dengan bermula di institusi masjid.
“Inisiatif ini memberi kesan serampang dua mata iaitu mewujudkan persekitaran masjid yang lebih bersih serta membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, lima masjid dipilih yang menjadi tumpuan orang ramai dan akan diperluaskan ke masjid bandar lain serta seterusnya ke masjid mukim di seluruh Kelantan.
Sementara itu, Imam Tua Masjid Jamek Muhammadi (Masjid Negeri Kelantan), Hairul Azizi Mokhtar berkata, konsep berkenaan selari dengan usaha menjadikan masjid sebagai contoh dalam membentuk komuniti yang lebih bersih dan lestari.
“Apabila bahan seperti kotak, kertas, plastik dan aluminium diasingkan lebih awal, ia memudahkan urusan pengurusan sisa serta memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.
“Pada masa sama, masyarakat dapat memahami kepentingan menjaga kebersihan kerana amalan itu perlu bermula daripada diri sendiri dan persekitaran masing-masing,” katanya.