Puas miliki Metroplex, figura gergasi Transformers

Iklan
Bagi Mohd Asraf, mengumpul figura Transformers mengimbau kenangan zaman kanak-kanaknya.

KUANTAN - Penantian lebih dua tahun untuk memiliki figura Metroplex dianggap berbaloi buat seorang pengumpul tegar Transformers yang menyifatkan koleksi itu sebagai antara item paling istimewa dalam simpanannya.

Mohd Asraf Hasnishah, 42, berkata, figura bersaiz gergasi itu merupakan antara koleksi paling berharga kerana diperoleh selepas melalui proses pra tempahan yang panjang.

Iklan
Iklan

Menurut pengurus syarikat pembinaan itu, sistem tempahan awal menyebabkan pengumpul perlu menunggu bertahun-tahun sebelum koleksi siap dihasilkan dan dihantar.

“Kadang-kadang kita tertanya-tanya sama ada barang itu akan dikeluarkan atau tidak. Jadi, apabila akhirnya ada di depan mata, memang puas,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Perumahan Permatang Badak Maju, di sini pada Jumaat.

Iklan

Mohd Asraf bersama isteri dan enam anaknya bergambar dengan figura Metroplex yang akhirnya tiba di rumahnya selepas penantian lebih dua tahun.

Berkongsi lanjut, bapa kepada enam orang anak itu berkata, kebanyakan figura eksklusif dihasilkan dalam kuantiti terhad selepas menerima tempahan daripada pembeli.

Iklan

Ujarnya, keadaan itu menyebabkan sesetengah koleksi sukar diperoleh walaupun pembeli mempunyai kemampuan kewangan.

“Ramai yang ingat apabila ada duit, kita boleh terus beli, tetapi hakikatnya tidak semudah itu kerana ada koleksi yang memang sukar ditemui di pasaran.

“Sebab itu apabila berjaya memiliki sesuatu koleksi selepas menunggu lama, kepuasan yang dirasai memang berbeza,” luahnya.

Siri helmet Star Wars turut menjadi koleksi Mohd Asraf.

Mohd Asraf berkata, minat terhadap figura aksi bermula sejak kecil apabila ayahnya sering membelikan mainan sebelum beliau mula mengumpul koleksi menggunakan wang sendiri ketika menuntut di politeknik sekitar tahun 2000.

Menurutnya, antara koleksi terawal yang masih disimpan sehingga kini ialah helmet Clone Trooper daripada siri Star Wars.

Selain Transformers, beliau turut mengumpul koleksi Star Wars, Gundam, Kamen Rider, Gaban dan beberapa figura aksi lain.

“Transformers tetap nombor satu dan Star Wars nombor dua, tetapi yang paling saya minati ialah siri Transformers Victory kerana itulah antara siri yang saya ikuti sejak kecil,” ujarnya.

Beliau memberitahu, watak antagonis Megatron turut menjadi antara karakter kegemarannya dan sentiasa mendapat tempat dalam koleksi yang dimiliki.

Sebahagian daripada koleksi Transformers milik Mohd Asraf yang mula dikumpulkan sejak menuntut di politeknik.

Katanya, tarikan utama terhadap Transformers terletak pada keunikan reka bentuk serta mekanisme transformasi setiap figura.

“Kita kagum bagaimana satu figura boleh berubah bentuk daripada robot kepada kenderaan dan setiap watak mempunyai cara transformasi yang berbeza.

“Dari sudut seni juga menarik dan kadang- kadang kita tertanya-tanya bagaimana reka bentuk yang begitu terperinci dapat dihasilkan,” katanya.

Miliki ratusan koleksi figura

Mohd Asraf kini memiliki ratusan koleksi yang dikumpulkan sejak lebih dua dekad lalu, namun mengakui kos dan ruang penyimpanan menjadi cabaran utama untuk meneruskan hobi tersebut.

Disebabkan kekurangan ruang di rumah, Mohd Asraf berkata, sebahagian koleksinya ditempatkan di pejabat, termasuk beberapa figura bersaiz besar yang dipamerkan berhampiran meja kerjanya.

“Saya ada menyediakan sedikit ruang pameran di pejabat untuk menyimpan beberapa koleksi di dalam rak.

Tarikan utama terhadap Transformers terletak pada keunikan reka bentuk serta mekanisme transformasi setiap figura.

“Apabila banyak kerja atau berasa tertekan, saya akan melihat koleksi itu. Kadang-kadang memegangnya seketika pun sudah cukup untuk menenangkan fikiran,” ujarnya.

Ditanya mengenai sokongan isteri, Mohd Asraf berkata, pasangan hidupnya memahami minat tersebut meskipun ada kalanya beliau perlu menjelaskan terlebih dahulu setiap pembelian baharu yang dibuat.

“Saya cuma perlu berterus terang. Kalau ada beli koleksi baharu, saya beritahu. Setakat ini tiada masalah,” katanya sambil ketawa.

Menurutnya, hobi tersebut bukan sekadar mengumpul mainan, sebaliknya menjadi cara untuk mengimbau semula memori yang pernah menghiasi zaman kanak-kanaknya.

“Dulu ada mainan yang saya suka tetapi hilang. Apabila dewasa dan berkemampuan, kita cuba mencarinya semula.

“Mungkin bagi orang lain ia hanya mainan, tetapi bagi saya setiap koleksi mempunyai cerita dan kenangan tersendiri,” katanya.