19 penumpang berdepan detik cemas, bas dinaiki terlibat kemalangan

Iklan
kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Gambar hiasan

KUANTAN - Sebanyak 19 penumpang berdepan detik cemas selepas bas dinaiki terlibat dalam kemalangan di KM77 Jalan Kuantan-Segamat dekat Runchang, Pekan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan kira-kira jam 4 petang itu berlaku ketika pemandu bas berusia 53 tahun bersama penumpang dari Kolej Vokasional Muadzam Shah sedang menghala ke sebuah hotel di bandar ini untuk menghadiri majlis persaraan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah Gemas, Negeri Sembilan menghala Kuantan telah memberhentikan kenderaan secara mengejut kerana terdapat kesesakan lalu lintas akibat pokok tumbang di atas jalan raya.

"Sebuah jip dipandu lelaki berusia 40 tahun yang berada di belakang kereta tersebut turut memberhentikan kenderaan sebelum bas berkenaan dari arah sama melanggar belakang jip itu dan menggelongsor serta terbabas ke kiri jalan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Iklan

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu bas berkenaan mengalami kecederaan di tangan dan menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah manakala penumpang yang lain tidak cedera.

Mohd Zaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Iklan