Remaja maut dipercayai terjatuh tingkat 68 Komtar

Iklan
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Foto JBPM

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 68 Bangunan Kompleks Tun Abdul Rasak (Komtar), pada petang Jumaat.

Mangsa yang difahamkan berasal dari negeri ini ditemukan di atas bumbung aras enam bangunan berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Zon 1 Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba I Jamil Abdullah @ Othman berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.17 petang. Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai bersama sebuah jentera LFRT tiba di lokasi pada jam 4.25 petang.

Iklan

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi membawa turun mangsa menggunakan sistem tali serta pengusung kerana kedudukan mangsa yang berada di lokasi tinggi dan sukar diakses,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

Beliau berkata, operasi turut berdepan cabaran apabila permukaan bumbung yang licin akibat hujan menyukarkan pergerakan anggota.

Iklan

“Seramai lima anggota dikerahkan naik ke bumbung bagi menjalankan kerja-kerja menurunkan mangsa dengan selamat.

“Mangsa berjaya dibawa turun sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan KKM di lokasi,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan turut menemui tiket masuk serta gelang pas masuk ke sebuah pusat tumpuan pengunjung di tingkat 68 namun punca kejadian masih dalam siasat polis.

"Operasi yang turut dibantu polis dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.09 malam," katanya lagi.

Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat. Foto JBPM

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala serta hampir keseluruhan anggota badannya dipercayai akibat terjatuh dari aras tinggi.

"Polis menerima maklumat awam mengenai kejadian itu pada jam 4.05 petang.

"Siasatan di lokasi mendapati mangsa, seorang warga tempatan dari kawasan Macallum ditemukan di atas bumbung aras enam bangunan Komtar dalam keadaan berpakaian lengkap.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari aras tinggi bangunan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, siasatan setakat ini tidak menemui sebarang unsur jenayah dan polis telah membuka Laporan Mati Mengejut bagi menyiasat kejadian itu.