BEKAS penolong jurulatih Selangor, Noor Zaidi Rohmat dilantik sebagai ketua jurulatih Perak FA bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2026/2027, demikian diumumkan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).
Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan kelayakan Noor Zaidi yang memiliki Lesen Kejurulatihan AFC Professional Diploma (Pro-A), selain pengalaman luas serta rekod cemerlang dalam pembangunan pemain muda di peringkat kebangsaan.
"Pengalaman lebih sedekad dalam arena bola sepak negara diyakini mampu membawa Perak FA menjadi sebuah pasukan yang lebih kompetitif, di samping memperkukuh pembangunan bakat muda sebagai teras kejayaan pasukan.
"PAFA percaya pengalaman, kepakaran serta falsafah kejurulatihan yang dimiliki Noor Zaidi akan membawa dimensi baharu kepada Perak FA, sekali gus membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan bagi musim 2026/2027," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Perak FA hari ini.
Pelantikan ketua jurulatih baharu itu dibuat susulan syarat baharu yang ditetapkan Amateur Football League (AFL), yang mewajibkan setiap pasukan mempunyai ketua jurulatih berkelayakan Lesen Pro-A.
Musim lepas, Perak dibimbing bekas pemain kebangsaan Syamsul Saad yang berjaya membawa pasukan itu menduduki tangga kelima liga, selain mara ke separuh akhir Piala Cabaran MFL dan suku akhir Piala Malaysia.
Sepanjang kariernya, Noor Zaidi mencipta nama bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) apabila membawa Selangor muncul juara Piala Belia 2015, selain pernah membimbing skuad pembangunan Bawah 19 Tahun (B-19) dan Bawah 21 Tahun (B-21) Selangor.
Beliau turut menggalas pelbagai peranan penting bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), termasuk sebagai Ketua Jurulatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 17 Tahun (B-17), Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Bawah 15 Tahun (B-15) dan Ketua Jurulatih Projek FAM-MSN, selain pernah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan Bawah 20 Tahun (B-20).
Noor Zaidi juga membantu Malaysia muncul juara Piala AFF B-19 pada 2022, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara jurulatih pembangunan terbaik negara. - Bernama