RANTAU PANJANG – Seorang lelaki dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai membawa 20,000 anak pokok kopi yang disyaki diseludup dari Thailand menggunakan laluan tidak diwartakan dalam serbuan di hadapan Masjid Kampung Rahmat, di sini pada Khamis.
Rampasan menerusi Op Taring Wawasan itu membabitkan anak pokok kopi bernilai RM700,000 dan sebuah lori Hino bernilai RM180,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan mencecah RM880,000.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota Strike Force Kompeni B Batalion 9 PGA Kuala Terengganu dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Kelantan menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 6.30 petang.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 39 tahun itu menemukan 20,000 anak pokok kopi di bahagian muatan belakang kenderaan.
"Suspek mengemukakan satu invois daripada sebuah syarikat nurseri apabila diminta menunjukkan dokumen berkaitan muatan tersebut.
"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati anak pokok itu disyaki diseludup dari Thailand melalui jalan yang tidak diwartakan serta dipercayai mempunyai risiko membawa serangga perosak dan penyakit tanaman," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Ujar beliau, hasil soal siasat mendapati suspek bekerja sebagai pemandu lori sebuah syarikat nurseri milik keluarganya dengan pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan bergantung kepada jumlah penghantaran.
Katanya, muatan anak pokok kopi itu dipercayai sedang dalam perjalanan untuk dihantar ke Gua Musang.
Ahmad Radzi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976, manakala tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.