Kes bekas kekasih mati ditikam: Mondy Tatto kini suspek

Iklan
Mondy Tatto - Foto Tribun News

JAKARTA – Seorang wanita dikenali sebagai Mondy Tatto atau nama sebenarnya Dita Restu Amanda, 24, ditetapkan sebagai suspek dalam kes serangan berkumpulan terhadap bekas kekasihnya, FA di Desa Kalijaya, Kecamatan Cikarang Barat, Kabupaten Bekasi, Jawa Barat.

Mondy didakwa menyerang mangsa bersama kekasih baharunya, Doni Dermawan, 31, yang dikenali sebagai Donal, hanya beberapa jam sebelum FA maut ditikam oleh individu lain dalam kejadian berasingan.

Iklan
Iklan

Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Cikarang Barat, AKP Engkus Kusnadi berkata, insiden serangan itu berlaku ketika Mondy berada di sebuah salon kecantikan di Kampung Pasar Beras pada malam Jumaat, 26 Jun 2026.

Menurutnya, mangsa datang ke lokasi dan berlaku pertikaian dengan Donal dipercayai berpunca daripada isu peminjaman motosikal milik Mondy.

Iklan

“Dia menarik dan menolak mangsa sehingga mangsa terjatuh. Kejadian itu juga dirakam dan videonya tersebar di media sosial,” katanya.

Rakaman serangan tersebut kemudian tular sehingga menyebabkan ramai menyangka Mondy dan Donal terbabit dalam kematian FA.

Iklan

Bagaimanapun, polis menjelaskan kes serangan itu berbeza dengan kes pembunuhan yang menyebabkan mangsa maut.

“Kes yang berlaku ketika itu adalah serangan berkumpulan. Mereka sudah berdamai dan kejadian tersebut dilerai sebelum berlaku insiden lain.

“Orang ramai membuat kesimpulan mereka ialah pelaku pembunuhan, sedangkan perkara itu tidak benar,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Engkus berkata, FA sebenarnya maut akibat ditikam seorang lagi bekas kekasih Mondy, dikenali sebagai Darmin, 26.

Menurutnya, selepas insiden di salon berakhir, kumpulan terbabit sempat minum minuman beralkohol bersama sehingga awal pagi Sabtu sebelum berlaku pertikaian baharu di rumah sewa Mondy di Kampung Jati Baru.

Ketika pertengkaran tercetus, Darmin memasuki rumah tersebut dan bertemu dengan FA.

“Darmin berkata, ‘kalau berani jangan dengan wanita’. Selepas berlaku pertengkaran, dia memukul kepala mangsa menggunakan botol sebelum mengambil pisau yang disimpan dan menikam bahagian belakang mangsa,” katanya.

Mangsa cuba melarikan diri, namun Darmin mengejarnya dan menikamnya sekali lagi sehingga mangsa rebah.

Berdasarkan laporan bedah siasat, FA meninggal dunia akibat tujuh kecederaan tusukan yang menembusi paru-paru kanan.

“Hanya Darmin yang melakukan tikaman. Di lokasi kedua, Mondy dan Donal tidak mampu berbuat apa-apa kerana pisau dibawa oleh Darmin,” jelasnya.

Polis memaklumkan motif kejadian dipercayai berpunca daripada isu hubungan asmara melibatkan Mondy.

Engkus berkata, Darmin dipercayai menyimpan rasa cemburu dan dendam terhadap FA kerana kedua-duanya mempunyai hubungan rapat dengan Mondy.

“Sebelum ini juga sudah berlaku konflik antara mangsa dengan Mondy serta Donal,” katanya.

Mondy dan Donal kini disiasat berhubung kes serangan berkumpulan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, manakala Darmin berdepan pertuduhan lebih berat kerana tikaman yang menyebabkan kematian mangsa.-Agensi