IPOH - Seekor harimau belang betina seberat 94 kilogram berjaya ditangkap selepas masuk perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dekat Hulu Kinta di sini pada Rabu.
Kehadiran haiwan tersebut disedari sekitar jam 12.40 tengah hari hasil perangkap yang dipasang di sebuah kandang lembu persendirian berhampiran kawasan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.
Pengarah Perhilitan Perak, Mohd Taufik Abdul Rahman berkata, operasi pemasangan perangkap itu telah dijalankan sejak 17 Julai lalu.
Menurutnya, ia susulan aduan daripada pemilik kandang lembu berkenaan yang mendakwa ternakannya diganggu kehadiran haiwan liar tersebut.
“Harimau betina ini dianggarkan berusia tidak melebihi 10 tahun dan berada dalam keadaan sihat, cuma terdapat luka ringan di bahagian muka.
“Penangkapan ini dibuat hasil pemantauan berterusan selepas menerima aduan awam berhubung kehadiran haiwan berkenaan di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Mohd Taufik berkata, operasi pemindahan haiwan berkenaan berjalan lancar dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan sepanjang proses dijalankan.
"Harimau tersebut akan dihantar ke Pusat Konservasi Hidupan Liar di Sungkai untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Taufik menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan situasi melibatkan hidupan liar.
Katanya, sebarang aduan berkaitan hidupan liar hendaklah disalurkan kepada pihak jabatan untuk tindakan lanjut.
“Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak mencederakan atau membunuh hidupan liar kerana haiwan yang cedera boleh menjadi lebih agresif dan membahayakan manusia,” katanya.