NIBONG TEBAL - Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan selepas polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM180,000 dalam satu operasi di Sungai Bakau di sini pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, ketiga-tiga suspek tempatan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 34 hingga 63 tahun ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Acheh.
Iklan
Iklan
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard yang dinaiki suspek menemukan pelbagai jenis dadah disyaki Eramin 5 seberat kira-kira 1,700 gram, serbuk methylenedioxymethamphetamine seberat 450 gram, ketamin (8 gram) dan heroin (1 gram).
“Siasatan turut mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif amphetamine serta methamphetamine,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah supaya menghubungi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di talian 012-208 7222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Artikel Berkaitan