Sayed Amir Muzzakkir tidak puas hati hutang RM2 juta belum dijelaskan

Iklan
Sayed Amir Muzzakkir

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen pada Khamis diberitahu bahawa Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad pernah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB), Wan Azhar Mohamed Yusof kerana didakwa gagal melunaskan hutang berjumlah RM2 juta.

Jururunding bebas NSB Khairul Nizam Mohd Sayuti, 54, berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Sayed Amir Muzzakkir kepadanya dalam satu pertemuan di pejabat bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu di Publika pada 29 Januari 2021.

Iklan
Iklan

"Dalam perjumpaan tersebut hanya kami berdua. Sayed Amir Muzzakkir bertanya kepada saya tentang projek yang saya tahu dan dapat pada masa akan datang. Sayed Amir Muzzakkir juga mengadu dia tidak berpuas hati dengan Wan Azhar kerana bayaran tidak cukup dan tidak mengikut jadual dan masih ada hutang bayaran berbaki RM2 juta.

"Saya hanya mendengar sahaja dan memberi nasihat kepada Sayed Amir Muzzakkir supaya mengikut sahaja perjanjian yang telah dibuat," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah melibatkan Sayed Amir Muzzakkir yang berdepan tiga pertuduhan membabitkan nilai RM350,000.

Iklan

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Hazel Tan Jia Qi, bagaimana nada dan tingkah laku Sayed Amir Muzzakkir semasa memberitahu tentang ketidakpuasan hatinya terhadap Wan Azhar, Khairul Nizam menjawab:"Sebagai layman (orang biasa) saya nampak lenggok tubuh Sayed Amir Muzzakkir memang tidak puas hati dengan Wan Azhar dan nada yang kecewa dan mungkin marah ketika itu".

Menjawab soalan Tan mengenai butiran hutang RM2 juta itu, Khairul Nizam berkata, beliau tidak mengetahui secara terperinci sama ada jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada perjanjian atau sebaliknya.

Iklan

Saksi itu juga mendedahkan Wan Azhar pernah memintanya untuk memaklumkan kepada tertuduh bahawa beliau sudah 'menyerah kalah' (surrender) dan tidak mampu membuat bayaran kerana tuntutan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih tertunggak.

"Saya hanya tahu Wan Azhar perlu membuat bayaran kepada Sayed Amir Muzzakkir, tetapi saya tidak tahu jadual pembayaran dan pecahan pembayaran yang perlu dibuat oleh Wan Azhar kepada Sayed Amir Muzzakkir.

"Saya juga tidak tahu berapa jumlah sebenar yang telah dibayar oleh Wan Azhar kepada Sayed Amir Muzzakkir. Saya juga tidak pernah melihat atau menghadiri dalam mana-mana transaksi pembayaran oleh Wan Azhar kepada Sayed Amir Muzzakkir," katanya.

Mengenai perolehan projek penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan PDRM, Khairul Nizam berkata, Wan Azhar memaklumkan bahawa tertuduh ada menghubunginya dan menawarkan bantuan untuk mendapatkan projek berkenaan.

"Wan Azhar juga memberitahu saya bahawa Sayed Amir Muzzakkir bersama kawan beliau akan ke pejabat Wan Azhar untuk berbincang membantu Wan Azhar mendapatkan projek ini. Wan Azhar meminta saya untuk hadir bersama beliau dalam perjumpaan ini," katanya.

Ditanya Tan, mengapa Sayed Amir Muzzakkir cakap boleh bantu dapatkan projek itu? Khairul Nizam berkata:"Saya percaya dengan kedudukan yang beliau (Sayed Amir Muzzakkir) ada, beliau dapat membantu dalam memastikan projek itu dianugerahkan kepada NSB dan yang saya tahu beliau Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri ketika itu.

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Yaacob Md Sam yang mewakili tertuduh, Khairul Nizam berkata beliau tidak mempunyai maklumat sama ada NSB menduduki tempat pertama atau menawarkan harga terendah berbanding syarikat pesaing bagi projek RMPNet tersebut.

Yaacob: Adakah Encik Khairul Nizam tahu harga yang ditawarkan Nexuscorpgroup untuk kontrak projek tersebut (RMPNet) adalah paling rendah berbanding dua lagi petanding (syarikat)?

Khairul Nizam: Tidak tahu.

Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir, 43, didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Wan Azhar sebagai upah membantu NSB memperoleh tender Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini, masing-masing pada 4 petang, 4 Disember 2020, dan 3.30 petang, 16 Disember 2020.

Sayed Amir Muzzakkir juga dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama bagi tujuan serupa di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Shah Alam pada awal Disember 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 19 Ogos ini. - Bernama