JOHOR BAHRU – Pelantikan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Timbalan Exco bukan membazirkan wang rakyat, sebaliknya merupakan langkah memperkukuh sistem penyampaian kerajaan negeri.
Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, peranan Timbalan Exco bukan untuk menambah birokrasi, sebaliknya membantu Exco sedia ada yang berdepan skop tugas semakin luas susulan perkembangan pesat negeri itu.
"Seorang Exco bukan sahaja menggubal dasar dan menghadiri mesyuarat kerajaan negeri, tetapi perlu turun padang, memantau projek pembangunan, menyelesaikan isu rakyat serta menyelaras jabatan dan agensi kerajaan.
"Dengan adanya Timbalan Exco, tanggungjawab itu dapat diagihkan dengan lebih tersusun tanpa menjejaskan kecekapan pentadbiran," katanya dalam kenyataan.
Pada Rabu, Kerajaan Johor buat pertama kali mengumumkan pelantikan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin parti daripada Pakatan Harapan (PH) dan Muda menggesa Kerajaan Johor menjelaskan secara terperinci tujuan pelantikan jawatan baharu Timbalan Exco termasuk skop tugas serta implikasi kewangan yang terlibat.
Dalam pada itu Mohd Hairi yang juga ADUN Larkin menjelaskan, Johor mempunyai keluasan hampir 19,200 kilometer persegi, 10 daerah dan populasi lebih empat juta penduduk memerlukan jentera pentadbiran yang mampu bergerak seiring dengan kepesatan pembangunan.
Menurutnya, pelantikan itu juga bukan sesuatu yang baharu kerana Sabah telah lama melaksanakan sistem Pembantu Menteri.
Manakala di Sarawak, ujarnya negeri itu mempunyai Timbalan Menteri di bawah kementerian negeri dan Melaka turut melantik Timbalan Exco bagi membantu pentadbiran.
Mengulas dakwaan pelantikan itu hanya menambah beban kewangan kerajaan, Mohd Hairi berkata pandangan berkenaan perlu dinilai secara objektif dan berdasarkan keberkesanan hasil yang bakal diterima rakyat.
"Kos akibat kelewatan membuat keputusan, projek tidak dipantau dan masalah rakyat berlarutan sebenarnya lebih besar berbanding kos memperkukuhkan keupayaan pentadbiran.
"Ukuran kejayaan kerajaan bukan berdasarkan jumlah jawatan, tetapi sejauh mana perkhidmatan dapat disampaikan dengan pantas, telus dan berkesan," katanya.
Beliau berkata, pelantikan Timbalan Exco perlu dilihat sebagai pelaburan untuk mempercepat pembangunan Johor serta memastikan setiap agenda kerajaan negeri dapat diterjemahkan sehingga ke peringkat rakyat.
PRN Johor pada 11 Julai menyaksikan BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus diberi mandat membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.
Selepas Onn Hafiz mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor pada 12 Julai lalu, seramai 10 Exco mengangkat sumpah pada 18 Julai lalu.