SHAH ALAM - Kesepakatan dicapai antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) merupakan satu 'game changer' skala mega yang berupaya merubah landskap serta sejarah politik tanah air.
Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, penyatuan kedua-dua gabungan berkenaan adalah impian rakyat yang kini menjadi kenyataan, sekali gus keresahan kepada pihak tertentu mahu melihat orang Melayu terus berpecah.
Menurut beliau, terdapat pihak sebelum ini menyangka mereka telah berjaya memecahkan perpaduan masyarakat Melayu, selain ada juga bertindak memuja individu dan memilih perpecahan sama ada di peringkat dalaman mahupun luaran.
"Pemimpin BN-PN rela mengetepikan ego dan sifat 'centric' parti demi mendahulukan kesepakatan," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau pada Khamis.
Annuar berkata, muafakat berkenaan berkembang dengan pantas dan segera disambut baik oleh rakyat kerana ia dianggap sebagai satu kemenangan buat mereka.
Oleh itu, beliau menegaskan bahawa kesepakatan berkenaan perlu terus didukung oleh rakyat kerana ia lahir daripada rakyat dan dibentuk untuk kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang meletakkan kecintaan kepada perpaduan, kestabilan, kesejahteraan dan muafakat untuk menterjemahkannya menerusi kertas undi.
"Bagi kita yang cintakan perpaduan, kestabilan, kesejahteraan dan muafakat rakyat, marilah kita keluar mengundi beramai-ramai pada 1 Ogos dan kita undi hanya calon-calon Perikatan Nasional dan Barisan Nasional," katanya.