WEST Coast Expressway Sdn Bhd (WCE) menyumbang RM10,000 bagi menaja seekor seladang jantan di Zoo Taiping & Night Safari sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan terhadap pemuliharaan biodiversiti.
Pengarah Urusannya, Lyndon Alfred Felix berkata, sumbangan menerusi Program Anak Angkat Seladang itu bertujuan menampung kos pemeliharaan dan operasi haiwan berkenaan.
Menurutnya, pemilihan seladang yang diberi nama Bima itu selari dengan identiti Perak yang menjadi antara laluan utama lebuh raya berkenaan selain melambangkan kekuatan dan kegagahan.
“Membina lebuh raya juga mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu diberi perhatian. Dalam menjalankan perniagaan, kita perlu memastikan komuniti dan alam sekitar di sepanjang jajaran lebuh raya dijaga dengan baik.
“Jadi, inisiatif di Zoo Taiping ini adalah permulaan kepada lebih banyak perkara yang akan datang,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan CSR ‘We Care’ Zoo Taiping & Night Safari di sini pada Khamis.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan.
Di bawah inisiatif ‘We Care’, WCE turut menghasilkan mural bertemakan jajaran Lebuhraya WCE sebagai simbolik kolaborasi bersama Zoo Taiping serta membina Taman Poket WCE bagi mengindahkan kawasan sekitar dan memberi keselesaan kepada pengunjung.
Alfred Felix berkata, selain menyokong usaha konservasi melalui Zoo Taiping, WCE turut mengintegrasikan elemen pemuliharaan biodiversiti dalam pembangunan lebuh rayanya.
Katanya, di jajaran Seksyen 11 Lebuhraya WCE yang merentasi Hutan Simpan Gunung Bubu, pihaknya telah membina laluan khas hidupan liar atau Animal Box Culverts (ABC).
“Ini bagi membolehkan haiwan bergerak dengan lebih selamat merentasi lebuh raya tanpa menjejaskan habitat semula jadi mereka,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Akmal berkata, pihaknya menyambut baik sumbangan berkenaan yang secara tidak langsung membantu mengurangkan kos penyelenggaraan haiwan di zoo.
Jelasnya, kos membela haiwan adalah tinggi dan memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak.
“Sebelum ini, kita turut menerima tajaan daripada beberapa pihak lain melibatkan spesies seperti harimau, orang utan dan gajah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan MPT sedang mempergiat usaha menaik taraf kemudahan pelancongan termasuk Taman Tasik Taiping bagi memastikan keselesaan pengunjung.
“Pembukaan penuh jajaran WCE kelak sudah pasti meningkatkan lagi kehadiran pelancong ke Taiping sekali gus merancakkan ekonomi setempat,” katanya.