Meniti usia 25 tahun, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bukan lagi sekadar sebuah institusi pendidikan tinggi teknikal, sebaliknya berkembang sebagai antara peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kejuruteraan negara.
Sambutan Jubli Perak UniMAP bukan sekadar meraikan perjalanan selama 25 tahun, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada fasa baharu pembangunan universiti menerusi Pelan Strategik UniMAP 2026 2030.
Bersama wartawan Sinar Harian, Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor telah mewawancara Naib Canselor UniMAP, Dato' Prof Ts Dr Zaliman Sauli yang berkongsi hala tuju, strategi dan aspirasi universiti untuk terus kekal relevan dalam era kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan ekonomi digital.
SINAR HARIAN: Jubli Perak bukan sekadar ulang tahun penubuhan UniMAP, malah menjadi titik permulaan Pelan Strategik UniMAP 2026–2030. Apakah hala tuju utama universiti?
ZALIMAN: UniMAP bermula pada 25 Julai 2001 sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) dengan dua program akademik dan lebih 100 pelajar. Kini, selepas 25 tahun, UniMAP berkembang menjadi universiti teknikal yang disegani dengan hampir 16,000 pelajar, lebih 50 program pengajian dan menjadi antara peneraju pendidikan TVET serta kejuruteraan negara.
Melalui Pelan Strategik UniMAP 2026 2030, kami menyasarkan peningkatan enrolmen kepada 18,000 pelajar, kebolehpasaran graduan melebihi 99.5 peratus, pengukuhan reputasi majikan serta peningkatan penarafan global melalui kerjasama strategik dan kecemerlangan akademik.
Apakah perubahan paling signikan yang membentuk identiti UniMAP hari ini?
Perubahan terbesar ialah budaya universiti yang kini benar-benar dipacu industri. Hampir setiap aspek pembangunan akademik melibatkan industri, termasuk kurikulum, CEO@ Faculty, Industry on Campus, latihan industri antarabangsa dan penyelidikan bersama.
Pendekatan ini menyumbang kepada kadar kebolehpasaran graduan 99.4 peratus, antara yang tertinggi dalam kalangan universiti awam. Hubungan dengan industri akan terus diperkukuh melalui lebih banyak kerjasama strategik dan penglibatan pemain industri dalam pembangunan akademik.
Apakah formula yang membolehkan UniMAP mengekalkan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi?
Formula kami ialah kurikulum dibangunkan bersama industri, pelajar didedahkan kepada latihan industri, pensijilan profesional dan pembelajaran berasaskan kerja (WBL), selain disokong rangkaian lebih 300 rakan industri tempatan dan antarabangsa.
Kebolehpasaran graduan meningkat daripada 87.9 peratus pada 2020 kepada 99.4 peratus pada 2025. Fokus kami kini bukan sekadar memastikan graduan mendapat pekerjaan, tetapi memperoleh kerjaya berkualiti dengan gaji kompetitif dalam sektor strategik.
Bagaimana UniMAP memastikan graduan kekal relevan dalam era AI dan ekonomi digital?
Kami menubuhkan Fakulti Komputeran Cerdas yang menawarkan program berkaitan kejuruteraan komputer, sains data dan sistem terbenam. UniMAP juga bekerjasama dengan syarikat seperti Huawei dan Siemens bagi pensijilan profesional.
Selain itu, kursus AI dalam Masyarakat diperkenalkan kepada semua pelajar supaya mereka memahami penggunaan dan etika AI. UniMAP turut merancang program baharu seperti Advanced Packaging Semiconductor, Automotif EV, Keselamatan Siber dan Logistik selaras dengan keperluan industri.
Apakah strategi UniMAP dalam memperkukuh pengantarabangsaan?
Enrolmen pelajar antarabangsa meningkat daripada 328 orang pada 2023 kepada 612 pada 2025 dan disasarkan mencecah 1,000 orang menjelang 2027.
UniMAP mempunyai lebih 200 kerjasama antarabangsa melibatkan mobiliti pelajar dan staf, penyelidikan serta program ijazah bersama. Kami turut memperluas kehadiran melalui UniMAP Cyberjaya dan UniMAP Walta Centre of Excellence di Batu Kawan.
Bagaimana UniMAP memastikan penyelidikan memberi impak kepada industri dan masyarakat?
Sejak 2003, UniMAP memperoleh lebih RM41 juta geran penyelidikan industri. Fokus kami ialah memastikan penyelidikan diterjemahkan kepada inovasi, pemindahan teknologi dan penyelesaian sebenar kepada keperluan industri serta komuniti.
Antara kejayaan ialah projek solar luar grid di Pulau Tuba, teknologi penanaman cendawan berasaskan IoT di Perlis, kerjasama hampir RM10 juta dengan Nihon Superior Jepun, pembangunan Perlis Airspace Sandbox serta penyelidikan semikonduktor bersama Intel.
Apakah pencapaian yang paling membanggakan sempena Jubli Perak UniMAP?
Pencapaian terbesar ialah kepercayaan masyarakat, industri dan pelajar terhadap UniMAP. Hari ini, universiti mencatat enrolmen tertinggi dalam sejarah dengan hampir 16,000 pelajar serta lebih 45,000 alumni yang berkhidmat di pelbagai syarikat dalam dan luar negara.
UniMAP juga mengekalkan kebolehpasaran graduan melebihi 99 peratus selama tiga tahun berturut-turut dan terus memperkukuh reputasi antarabangsa apabila tersenarai dalam QS World University Rankings by Subject 2026 bagi bidang Materials Science serta Engineering – Electrical & Electronic.
Apakah fokus UniMAP bagi tempoh lima tahun akan datang?
Fokus kami adalah memperkukuh kekuatan sedia ada dalam bidang elektrik, elektronik dan semikonduktor sambil meneroka bidang baharu seperti AI, automotif elektrik, keselamatan siber dan logistik.
Kami juga akan memperluas pembelajaran berasaskan kerja, memperkasakan TVET serta memastikan graduan terus memenuhi keperluan industri. Matlamatnya ialah menjadikan UniMAP universiti teknikal dan TVET pilihan utama negara serta terus relevan di peringkat global.
Apakah mesej Datuk kepada warga UniMAP dan alumni sempena Jubli Perak?
Jubli Perak bukan sekadar meraikan 25 tahun perjalanan UniMAP, tetapi menghargai sumbangan seluruh warga universiti, alumni, industri dan rakan strategik.
Legasi sebenar UniMAP bukan hanya pada angka pencapaian, tetapi pada nilai ilmu, integriti, inovasi dan semangat untuk terus memberi manfaat kepada masyarakat. Asas yang dibina sepanjang 25 tahun pertama perlu menjadi pemangkin untuk membawa UniMAP muncul sebagai universiti TVET dan kejuruteraan pilihan utama negara serta disegani di persada dunia.