IPOH – Integriti perlu dijadikan aset strategik negara kerana ia bukan sahaja menjadi asas kepada tadbir urus yang baik, malah berperanan melindungi kedaulatan, memperkukuh institusi serta menjamin keselamatan nasional.
Mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, kekuatan sesebuah negara tidak boleh diukur semata-mata melalui keupayaan ketenteraan atau penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya bergantung kepada integriti institusi awam, akauntabiliti kepimpinan dan keberkesanan tadbir urus.
Menurutnya, negara yang berjaya menginstitusikan integriti mampu mencegah penipuan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebelum ia berlaku sekali gus meningkatkan kepercayaan rakyat, memperkukuh demokrasi serta menjamin kemakmuran jangka panjang.
"Keselamatan nasional bukan hanya berkaitan pertahanan ketenteraan, tetapi turut meliputi keselamatan ekonomi, kewangan, makanan, tenaga, siber, sempadan dan alam sekitar.
"Apabila integriti kukuh, institusi dapat berfungsi dengan berkesan, dasar dilaksanakan secara cekap, sumber awam dilindungi, pelabur lebih yakin dan rakyat terus mempercayai kerajaan," katanya ketika menjadi panel forum bertajuk Integriti dan Keselamatan Negara sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) Ke-8 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Khamis.
Turut menjadi panel pada forum Felo Kanan Bersekutu di Royal United Service Institute for Defence and Security Studies United Kingdom, Dr H A Hellyer; Pemangku Pengarah Direktorat Keagamaan Tentera Udara Diraja Brunei, Leftenan Kolonel Abdul Mujib Haji Japar dan Pengasas dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Chasseur, Munira Mustaffa.
Ambrin berkata, berdasarkan pengalamannya mengaudit sektor awam pelbagai kelemahan sistemik masih berulang termasuk perancangan projek yang lemah, kelewatan pelaksanaan, kos projek yang meningkat, pengurusan kontrak dan aset yang tidak cekap serta ketidakpatuhan terhadap peraturan kewangan.
Menurutnya, kelemahan tersebut tidak seharusnya dibiarkan berulang tanpa tindakan pembetulan dan penguatkuasaan yang tegas kerana ia mengakibatkan ketirisan wang awam serta kehilangan peluang pembangunan kepada rakyat.
Ambrin berkata, rasuah kini perlu dilihat sebagai ancaman keselamatan nasional kerana ia mampu melemahkan institusi strategik, menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan, menggalakkan jenayah terancang serta menjejaskan keyakinan pelabur.
"Ancaman kepada negara hari ini bukan sahaja datang daripada musuh luar, malah berpunca daripada kegagalan tadbir urus, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
"Keselamatan nasional sebenarnya bermula di setiap kementerian, jabatan dan agensi awam yang membuat keputusan melibatkan sumber awam setiap hari," katanya.
Beliau berkata, usaha mencegah rasuah jauh lebih berkesan dan menjimatkan berbanding menyiasat serta memulihkan kerugian selepas wang awam diselewengkan.
Katanya, kerajaan perlu memperkukuhkan kawalan dalaman, sistem perolehan yang telus, pengurusan risiko, audit bebas dan mekanisme pemantauan bagi mengurangkan peluang berlakunya penyelewengan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan integriti tidak boleh dipisahkan daripada akauntabiliti kerana kedua-duanya menjadi asas kepada tadbir urus yang berkesan.
Menurutnya, tanpa akauntabiliti, kesilapan akan terus berulang, rasuah menjadi kebiasaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan akan semakin merosot.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan sistem integriti negara bergantung kepada kehendak politik yang diterjemahkan melalui tindakan, bukannya sekadar ucapan atau dokumen dasar.