PASIR MAS – Projek Solar Berskala Besar (LSS5) di Serongga di sini dijangka mempu menarik kemasukan lebih ramai pelabur ke Kelantan pada masa depan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelaksanaan projek itu sekali gus dapat memperkukuh pembangunan ekonomi negeri berteraskan kelestarian dan teknologi hijau serta menjadi penanda aras pembangunan tenaga boleh baharu (TBB).
“Projek ini membuktikan Kelantan berupaya dan berdaya saing sebagai peneraju pembangunan ekonomi baharu berasaskan kelestarian, inovasi serta teknologi hijau.
“Untuk itu, kerajaan negeri ini akan terus komited menyediakan ekosistem pelaburan yang kondusif, telus dan mesra pelabur selaras dengan aspirasi menjadikan Kelantan sebuah negeri mampu menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran (LSS5) di Serongga di sini pada Khamis.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Ujar Mohd Nassuruddin, projek berkenaan membuka peluang kepada syarikat tempatan, usahawan, pembekal perkhidmatan dan tenaga kerja anak Kelantan untuk terlibat dalam rantaian nilai ekonomi sepanjang pelaksanaannya.
“Manfaat pelaburan bukan sekadar diterjemahkan melalui pembangunan infrastruktur, malah meliputi peningkatan peluang ekonomi, pemindahan kepakaran serta pengukuhan kapasiti rakyat tempatan.
“Sehubungan, saya berharap projek LSS5 dapat dilaksanakan mengikut jadual,” katanya.
Beliau menjelaskan, krisis tenaga global membuka peluang besar kepada industri TBB, khususnya tenaga solar untuk berkembang lebih pesat dalam sektor industri dan domestik.
Katanya, tenaga solar sebagai sumber tenaga tempatan lebih stabil serta kurang terdedah kepada ketidaktentuan geopolitik dunia, selain menjadi pelaburan jangka panjang yang mampu mengawal kos tenaga.
“Bagaimanapun kami tidak mahu melihat pembangunan yang akhirnya meminggirkan masyarakat tempatan, sebaliknya hendaklah membuka ruang peningkatan ekonomi kepada rakyat,” katanya.