Lagi tiga hari bakal disatukan, majlis pertunangan bertukar tahlil arwah

Iklan
Nor Syaqirah bergambar bersama Allahyarham Mohammad Amirul.

KUALA SELANGOR - Kegembiraan seorang wanita yang bakal melangsungkan pertunangan bertukar duka apabila segala persiapan terpaksa dibatalkan selepas pasangannya maut dalam kemalangan, tiga hari sebelum majlis berlangsung.

Nor Syaqirah Mohd Sha'aroni, 27, berkata, majlis pertunangannya dengan Mohammad Amirul Mohammad Jais, 35, yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini terpaksa digantikan dengan majlis tahlil.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua persiapan termasuk penyediaan makanan telah siap dilakukan bagi menyambut rombongan keluarga pihak lelaki.

"Memang semua persiapan sudah dibuat, tetapi kami reda dengan ketentuan ALLAH," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Mohammad Amirul maut selepas motosikal jenis Modenas Kriss yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di persimpangan Persiaran Mokhtar Dahari, di sini, pada jam 11 pagi, Rabu.

Nor Syaqirah berkata, dia dan arwah sudah saling mengenali sejak kecil kerana membesar dalam Persatuan Kebudayaan Dendang Anak sebelum hubungan mereka menjadi lebih serius apabila arwah melamarnya pada awal tahun ini.

Iklan

"Kami tidak bercinta lama, tetapi memang kenal sejak kecil. Awal tahun ini dia mengajak saya berkahwin dan kami terus membuat persiapan untuk bertunang.

"Perancangan asal kami adalah untuk berkahwin pada Julai tahun depan kerana ia bersempena bulan kelahiran kami berdua," katanya.

Mengulas mengenai arwah, Nor Syaqirah menyifatkan bakal tunangnya sebagai seorang yang penyayang dan bertanggungjawab terhadap keluarga.

"Saya telah kehilangan ibu pada 2021, namun kehadiran arwah bukan sekadar sebagai pasangan, malah menjadi tempat saya bergantung seperti seorang abang dan ayah.

"Dia seorang yang sangat mengambil berat dan sentiasa ada untuk saya. Oleh sebab itu, kehilangan ini amat sukar diterima," tambahnya.

Jenazah Allahyarham Mohammad Amirul dimandikan dan dikafankan di Hospital Tanjong Karang sebelum dibawa ke Masjid Sungai Serdang untuk disolatkan.

Jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Serdang kira-kira jam 6.30 petang, Rabu.