JOHOR BAHRU – Lima lelaki termasuk dua remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan bergaduh di tempat awam sehingga mengganggu ketenteraman awam, Isnin lalu.
Tertuduh, Abdullah Tenis Munisamy, 38; Keevaan Jay Arkesh Rajendran, 28; Muhammad Nafiz, 19, dan dua lagi remaja berusia 15 dan 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan niat bersama bergaduh di sebuah restoran Taman Daya di sini kira-kira jam 5.40 pagi pada 20 Julai lalu.
Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Eizlan Azhar manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret menjatuhkan hukuman denda RM700 terhadap tiga tertuduh sekiranya gagal bayar tujuh hari penjara
Seterusnya, mahkamah menetapkan 1 September depan bagi serahan laporan akhlak pesalah muda berusia 15 dan 17 tahun.
Pada Isnin, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad mengesahkan polis menahan 12 lelaki berusia 15 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan ketika menonton perlawanan akhir Piala Dunia membabitkan pasukan Sepanyol dan Argentina, di restoran di Taman Daya.
Sebelum itu, tular video berdurasi 37 saat di media sosial memaparkan pergaduhan dan tindakan agresif membaling kerusi membabitkan beberapa pelanggan di restoran.