KUANTAN – Polis berjaya menumpaskan Geng Lakino Garuda yang disyaki aktif dalam kegiatan mencuri kabel solar dan komponen telekomunikasi susulan penahanan sembilan lelaki yang dipercayai anggota geng tersebut menerusi beberapa siri serbuan yang dijalankan antara 27 Jun hingga 17 Julai lalu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata semua suspek terdiri daripada empat warga tempatan dan lima warga asing berusia antara 26 hingga 52 tahun yang ditahan dalam serbuan di sekitar daerah ini, Shah Alam dan Sepang, Selangor.
Menurutnya, siasatan awal mendapati enam daripada suspek yang ditahan terbabit secara langsung dalam kegiatan mencuri kabel solar dan komponen telekomunikasi, manakala tiga lagi bertindak sebagai pembeli.
"Dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan kesalahan dadah.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati tujuh daripada mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.
Azry Akmar berkata, hasil serbuan itu polis berjaya merampas pelbagai barang kes dianggarkan bernilai RM500,000 termasuk sebuah lori, sebuah kenderaan pacuan empat roda, cip elektronik pelbagai saiz, gulungan kabel, parang dan sembilan telefon bimbit pelbagai jenama.
"Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berkata, serbuan dilakukan susulan 21 kes kecurian kabel solar dan komponen telekomunikasi yang dilaporkan di Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Terengganu antara Februari hingga Jun lalu.
"Keseluruhan kerugian membabitkan 98,000 meter kabel solar dan komponen telekomunikasi dianggarkan bernilai RM912,000.
"Polis masih mengesan dua lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes tersebut dan kini masih bebas," katanya.