KUALA LUMPUR - Yayasan Tenaga Nasional (YTN) terus memperkukuh komitmennya memperkasa pendidikan negara apabila 100 pelajar baharu menerima tajaan di bawah Program Dermasiswa MyBF Junior bagi 2026, menjadikan jumlah keseluruhan penerima manfaat kepada 200 pelajar di seluruh negara.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu mendapat sokongan berterusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap pembangunan modal insan negara.
Inisiatif itu bertujuan membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti sebagai persediaan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Komitmen Membangunkan Modal Insan
Pada Majlis Pelancaran Program Dermasiswa MyBF Junior di Bangi pada 21 Julai lepas, Pengerusi TNB merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YTN Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata setiap anak Malaysia berhak mendapat peluang untuk membina masa depan yang lebih baik melalui pendidikan.
"Pendidikan merupakan asas kepada kemajuan individu, masyarakat dan negara. Kami mahu memastikan tiada bakat dan potensi anak-anak daripada keluarga B40 tercicir hanya kerana kekangan kewangan.
"Melalui YTN, kami akan terus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mengembangkan potensi mereka serta membangunkan modal insan yang akan menyumbang kepada masa depan negara,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pembangunan Murid dan Kepimpinan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) Roslina Abdul Aziz serta Pengarah YTN Shahrulnizam Md Nur.
Program Berskala Nasional
Program MyBF Junior melibatkan pelajar yang layak daripada kesemua sembilan Sekolah Menengah Teknik (SMT) yang kini dikenali sebagai Sekolah Berasrama Penuh Teknikal (SBP-T) di Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak.
Program itu menyasarkan pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima sebagai kesinambungan kepada Program Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) yang diperkenalkan pada 2018 bagi membantu pelajar daripada keluarga B40 melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.
Setiap penerima menerima tajaan selama dua tahun bernilai RM3,000 merangkumi bantuan kewangan serta penyertaan dalam program pembangunan pelajar yang memfokuskan kepada pembangunan kepimpinan, pembinaan sahsiah, kemahiran insaniah dan kompetensi diri.
Sejak diperkenalkan pada 2025, Program MyBF Junior telah memberi manfaat kepada 200 pelajar di seluruh negara.
Pemilihan penerima dilaksanakan melalui kerjasama antara YTN, KPM dan pihak sekolah bagi memastikan bantuan disalurkan secara telus kepada pelajar yang benar-benar layak.
YTN turut menerajui pelbagai program biasiswa dan dermasiswa, termasuk TNB Prime Scholarship (1993), TNB Shine Sponsorship (1999) dan Program MyBF (2018).
Sehingga Disember 2025, YTN telah membantu lebih 21,600 pelajar menerusi pelbagai program pendidikan dengan peruntukan melebihi RM2.02 bilion. Bagi Program MyBF sahaja, seramai 7,766 pelajar telah menerima manfaat dengan peruntukan RM209.9 juta.
Dermasiswa Mengubah Kehidupan Pelajar
Bagi Mohd Arif Adam Mohd Arif Sham, 16, dari SBP-T Alor Setar yang mengikuti bidang Kejuruteraan Mekanikal, kehilangan bapanya dalam kemalangan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun lepas menjadi cabaran besar buat keluarganya.
"Saya sangat bersyukur dipilih menerima dermasiswa ini kerana ia membantu meringankan beban ibu yang kini menyara kami adik-beradik seorang diri. Bantuan ini memberi semangat kepada saya untuk terus belajar bersungguh-sungguh bagi merealisasikan impian arwah ayah yang mahu melihat saya berjaya dalam bidang kejuruteraan,” katanya.
Sementara itu, pelajar SBP-T Sejingkat, Sarawak, Banessa Kamu Anak Aru, 16, berkata bantuan itu membolehkannya membeli buku rujukan dan keperluan persekolahan tanpa membebankan ibu bapanya yang bekerja sebagai petani dan suri rumah.
"Saya sangat bersyukur kerana bantuan ini membantu saya mendapatkan keperluan pembelajaran. Saya berazam belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi jurutera awam dan membalas jasa ibu bapa serta TNB dan YTN,” katanya.
Bagi Mohamad Isma Mirza Mohd Razali, 16, dari SBP-T Johor Bahru yang mengikuti bidang Sains Pertanian, dermasiswa itu menjadi pembakar semangat untuk terus mengejar cita-citanya walaupun dibesarkan oleh ibu yang bekerja sebagai pembantu kantin sekolah selepas kehilangan bapanya.
"Saya tidak sangka terpilih menerima bantuan ini. Ia bukan sahaja meringankan beban kewangan ibu, malah menjadi motivasi untuk saya terus belajar bersungguh-sungguh dan membuktikan bahawa kekangan hidup bukan penghalang untuk berjaya,” katanya.
Seorang lagi penerima, Siti Sarizulaikha Mustafa, 16, dari SBP-T Cheras, berkata ibunya yang bekerja sebagai pemandu e-hailing menjadi sumber kekuatan utama dalam hidupnya.
"Saya paling rapat dengan ibu dan beliau sentiasa menjadi inspirasi untuk saya terus berusaha.
"Dermasiswa ini membantu meringankan beban keluarga dan memberi motivasi kepada saya untuk mencapai cita-cita menjadi seorang peguam,” katanya.- Bernama