Isu Network School: Pas gesa semakan pelaburan asing diperketat

Iklan
Kenyataan Ahmad Fadhli di Facebook pada Khamis.

SHAH ALAM – Pas menggesa kerajaan memperketat proses semakan latar belakang atau ‘due diligence’ terhadap pelaburan, organisasi dan individu asing bagi memastikan aspek keselamatan negara, kedaulatan serta kepentingan rakyat terus terpelihara susulan kontroversi melibatkan Network School di Forest City, Johor.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap pelaburan atau inisiatif antarabangsa yang dibawa masuk ke negara ini mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan kepentingan nasional.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada masa sama, Pas menyokong keputusan kerajaan Johor menerusi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan operasi Network School dihentikan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Kata beliau, tindakan itu menunjukkan bahawa tiada mana-mana pihak boleh diberikan layanan istimewa sekiranya didapati melanggar syarat lesen, peraturan atau undang-undang negara.

Iklan

“Pas berpandangan bahawa tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran syarat lesen dan peraturan perlu dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira status, kewarganegaraan atau latar belakang mana-mana organisasi.

“Kedaulatan undang-undang hendaklah sentiasa menjadi asas kepada setiap tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Media pada Selasa melaporkan, MBIP membatalkan lesen perniagaan NS0 Malaysia Sdn Bhd atau Network School serta mengarahkan semua aktivitinya di Forest City dihentikan berkuat kuasa mulai Rabu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri menyokong sepenuhnya keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Penuh Khas MBIP selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan syarikat berkenaan.

Sebelum itu, tular di media sosial mengenai dakwaan yang mengaitkan kewujudan Network School berkenaan dengan agenda Israel untuk bertapak secara senyap di negara ini menerusi pelaburan mata wang.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menegaskan, Pas turut mendesak agensi penguatkuasaan di bawah kerajaan Persekutuan termasuk Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan supaya meneruskan siasatan secara menyeluruh berhubung isu berkenaan.

Kata beliau, tindakan tegas perlu diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan ke Malaysia atau apa-apa kesalahan lain di bawah undang-undang negara.