MBI nafi dakwaan tular tulisan Cina dipasang bersama perkataan 'Ipoh', sahkan imej AI

Iklan
MBI menafikan dakwaan tular di media sosial yang memaparkan tulisan bahasa Cina dipasang bersama perkataan ikonik 'IPOH' di atas bukit berhampiran Jalan Kuala Kangsar.

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada Rabu menafikan dakwaan tular di media sosial yang memaparkan tulisan bahasa Cina dipasang bersama perkataan ikonik 'IPOH' di atas bukit berhampiran Jalan Kuala Kangsar, dan mengesahkan bahawa imej itu adalah palsu serta telah dimanipulasi.

MBI dalam kenyataan memaklumkan imej yang disebarkan menerusi hantaran dalam kumpulan Facebook 'Manjoi Manjoi Ajerr' dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau melalui suntingan digital.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, tulisan IPOH sedang menjalani kerja-kerja baik pulih selepas diturunkan pada 15 Julai lepas bagi membolehkan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur dan keadaan fizikalnya.

"Kerja-kerja pemasangan semula tulisan IPOH dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai 4 hingga 6 Ogos ini, tertakluk kepada keadaan cuaca dan kelancaran kerja di tapak.

Iklan

"Sehubungan itu, sebarang imej yang memaparkan tulisan lain dipasang bersama perkataan IPOH di lokasi berkenaan adalah tidak benar, mengelirukan dan tidak menggambarkan keadaan sebenar,” katanya.

Menurut MBI, penyebaran imej yang telah dimanipulasi bersama dengan kenyataan tidak benar adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan salah faham, keresahan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat selain berpotensi menjejaskan imej, keharmonian serta reputasi Bandaraya Ipoh.

Iklan

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai, mengulas, berkongsi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sebaliknya membuat semakan menerusi saluran rasmi MBI.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa MBI sedang meneliti perkara berkenaan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya termasuk membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam penghasilan serta penyebaran kandungan palsu tersebut.

Pada masa sama, MBI mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan prinsip 'Tidak Pasti, Jangan Kongsi' dalam usaha membendung penularan berita palsu. - Bernama