SHAH ALAM - Tiada mana-mana negara berhak menentukan dasar dalam negeri, keputusan imigresen atau dasar luar Malaysia yang bebas dan berdaulat.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ancaman sekumpulan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang menuntut Malaysia mengubah dasar berdaulatnya terhadap warga Israel dalam tempoh 15 hari merupakan perkara yang tidak boleh diterima.
Beliau berkata, selain itu cadangan supaya tindakan menghukum negara ini termasuk menggantung bantuan latihan ketenteraan, merupakan satu bentuk pencabulan terhadap kedaulatan negara dan intimidasi politik.
Menurutnya, tiada mana-mana negara, walau sehebat mana sekali pun dari segi kekuatan ketenteraan atau ekonomi, berhak menentukan dasar dalam negeri, keputusan imigresen atau dasar luar Malaysia.
"Ugutan sedemikian melanggar prinsip asas kedaulatan sama rata antara negara sebagaimana termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Tindakan wakil rakyat Amerika Syarikat memilih jalan paksaan berbanding diplomasi turut mencerminkan sikap yang semakin membimbangkan apabila sokongan tanpa syarat terhadap Israel diteruskan meskipun mengorbankan prinsip undang-undang antarabangsa, keadilan dan hak kedaulatan negara lain," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan, lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.
Mereka ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada Parti Demokrat.
Berdasarkan surat yang dimuat naik Landsman di Facebook miliknya, mereka menyuarakan kebimbangan serius terhadap kenyataan Anwar dan menggesa kerajaan AS mengambil tindakan tegas kerana kenyataan Perdana Menteri itu didakwa cenderung bersifat antisemitisme.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, tuduhan bahawa Malaysia mengamalkan dasar anti-Semitik adalah tidak benar, melulu dan bermotifkan politik.
Jelas beliau, Malaysia tidak pernah menentang agama Yahudi atau masyarakat Yahudi.
"Sebaliknya pendirian negara sejak sekian lama tertumpu kepada bantahan terhadap dasar dan tindakan Israel, khususnya berkaitan pendudukan wilayah Palestin.
"Ini termasuk peluasan penempatan haram, hukuman kolektif terhadap orang awam serta dakwaan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa," katanya.
Ujar beliau, menyamakan kritikan terhadap dasar Israel dengan anti-Semitisme merupakan cubaan untuk membungkam kritikan yang sah serta melindungi sebuah negara daripada dipertanggungjawabkan atas tindakannya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Malaysia menolak ancaman berkenaan tanpa sebarang kompromi.
Tegas beliau, ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), negara-negara Selatan Global dan semua negara yang mempertahankan sistem antarabangsa berasaskan undang-undang diminta supaya menolak diplomasi berasaskan ugutan serta mempertahankan kedaulatan negara.
"Solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin berakar umbi daripada prinsip keadilan, nilai kemanusiaan dan penghormatan kepada undang-undang antarabangsa.
Pendirian ini tidak akan ditentukan oleh ancaman, sekatan atau tekanan politik daripada mana-mana pihak," katanya.