ALOR SETAR – Tindakan seorang lelaki melakukan aksi 'wheelie' ketika menunggang motosikal sambil membawa isteri dan anak perempuan berusia empat tahun mengundang padah apabila dia ditahan polis selepas video aksinya tular di media sosial.
Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (HMPV) Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada jam 3.40 petang pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima selepas rakaman video berdurasi 17 saat memaparkan aksi berbahaya itu tular di Facebook.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian sebenar berlaku pada 28 Mac lalu, kira-kira jam 12.30 pagi di Jalan Lebuhraya Darul Aman berhampiran Dataran Bandar Alor Setar.
"Siasatan mendapati suspek menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Aman Central menuju ke lampu isyarat Pekan Melayu sebelum bertindak mengangkat tayar hadapan motosikal atau melakukan aksi 'wheelie'.
"Ketika kejadian, suspek membawa isteri berusia 25 tahun sebagai pembonceng belakang serta anak perempuan mereka berusia empat tahun yang berada di bahagian hadapan motosikal," katanya pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati suspek dikatakan dalam perjalanan menuju ke Jalan Pegawai untuk makan malam bersama keluarganya.
Menurut Syed Basri, aksi tersebut bukan sahaja membahayakan nyawa penunggang dan dua pembonceng, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Katanya, polis turut merampas motosikal yang digunakan dalam kejadian bagi membantu siasatan.
"Hasil semakan juga mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu yang sah," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.