SHAH ALAM - Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing naik 20 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi meningkat 35 sen seliter bagi tempoh 23 hingga 29 Julai 2026 susulan kenaikan harga minyak mentah dunia yang didorong ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga baharu RON97 ditetapkan pada RM4.20 seliter, RON95 tanpa subsidi RM3.62 seliter dan diesel tanpa subsidi RM4.42 seliter, berkuat kuasa mulai Khamis.
Menurutnya, kenaikan harga bahan api tanpa subsidi itu dipengaruhi peningkatan harga minyak mentah Brent sebanyak 16 peratus sepanjang minggu lalu selepas konflik antara Amerika Syarikat dan Iran kembali memuncak sebaik tempoh gencatan senjata berakhir.
"Sekatan terhadap perkapalan dan pengurangan aliran kapal melalui Selat Hormuz turut meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global.
"Selain itu, kenaikan harga minyak mentah didorong oleh paras inventori global yang semakin ketat serta ancaman gangguan terhadap penghantaran minyak dari Arab Saudi," kata MoF dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kementerian tersebut memberitahu, pasaran petroleum global dijangka kekal tidak menentu selagi penyelesaian konflik belum dimuktamadkan.
"Meskipun usaha menghidupkan semula rundingan dan cadangan gencatan senjata telah mengehadkan sebahagian kenaikan harga, perkembangan tersebut masih belum meredakan kebimbangan pasaran terhadap risiko gangguan bekalan," ujarnya lagi.
Bagaimanapun, MoF memaklumkan bekalan bahan api negara kekal mencukupi ketika ini dan kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga.
Dalam pada itu, harga bahan api bersubsidi dikekalkan iaitu RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.
Menurut MOF, rakyat Malaysia yang layak masih boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad menerusi inisiatif BUDI Madani tertakluk kepada syarat kelayakan serta baki kuota bulanan masing-masing.