SHAH ALAM - Rumah banglo dan kondominium yang digunakan sindiket bagi berselindung melakukan kegiatan pusat panggilan (calling centre) penipuan dibongkar menerusi empat siri serbuan di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Operasi bermula 15 hingga 20 Julai lalu itu berjaya membawa tangkapan 40 warga asing termasuk empat wanita yang dipercayai berperanan sebagai operator khidmat pelanggan selain rampasan barang kes mencecah RM46,000.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan pertama oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 15 Julai di Bandar Sungai Long berjaya menumpaskan sindiket penipuan urusan jual beli barangan dalam talian dengan tangkapan 16 individu termasuk seorang wanita.
Menurutnya, serbuan kedua pada tarikh sama di Country Heights, Kajang turut berjaya membongkar sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dengan tangkapan 15 individu termasuk dua wanita.
"Pada 18 Julai, serbuan ketiga di Saujana Impian, Kajang membawa tangkapan empat lelaki kerana terlibat sindiket love scam.
"Serbuan keempat yang digerakkan BSJK IPD Serdang pada 20 Julai di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan berjaya menangkap lima individu termasuk seorang wanita kerana terlibat sindiket love scam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu.
Beliau berkata, antara rampasan ialah naskah dan dokumen skrip yang digunakan sebagai 'panduan' bagi menipu mangsa.
Katanya, siasatan mendapati empat sindiket terbabit tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dengan beroperasi antara Mei hingga bulan ini.
Katanya, sindiket terbabit menyasarkan mangsa warga China, Amerika dan Kanada termasuk menggunakan aplikasi khas bagi love scam dan jual beli barangan.
Tambahnya, semakan awal mendapati suspek-suspek dari negara Timur Asia dan Asia Selatan berusia lingkungan 22 hingga 55 tahun tersebut memasuki negara ini menggunakan pas pelancong.
"Ada antara suspek yang ditahan belum menerima upah kerana baharu sahaja terlibat dalam sindiket.
"Semakan latar belakang juga sedang dijalankan sama ada terdiri daripada mereka yang berpendidikan tinggi," jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan 120B Kanun Keseksaan.