Stadium Hoki MBDK diiktiraf FIH, siap sedia jadi gelanggang SUKMA Selangor 2026

Iklan
Abd Hamid bersama pemain hoki Sukma Selangor pada perasmian Stadium Hoki MBDK, Pandamaran

STADIUM Hoki Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Kompleks Sukan Pandamaran yang siap dinaik taraf dengan kos RM8 juta kini diiktiraf oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara venue utama Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.

Stadium berkenaan, yang dirasmikan pada Selasa, menjadi simbol komitmen MBDK dalam memperkasakan infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa di Bandar Diraja Klang menjelang temasya SUKMA yang berlangsung bulan depan.

Iklan
Iklan

Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, penaiktarafan itu bukan sahaja meningkatkan kualiti kemudahan sukan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat atlet, penganjuran kejohanan bertaraf tinggi serta pertumbuhan ekonomi setempat.

Menurutnya, projek naik taraf stadium itu disiapkan sepenuhnya pada 1 Julai lalu dengan kos keseluruhan RM8 juta.

Iklan

“Peruntukan yang dilaburkan ini bukan sekadar satu perbelanjaan, sebaliknya merupakan pelaburan strategik yang bakal memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan sukan dan ekonomi tempatan.

“Kita percaya kemudahan sukan yang berkualiti mampu menjadi pemangkin kepada gaya hidup sihat, pembangunan belia, pengukuhan perpaduan komuniti serta menjadi platform melahirkan atlet yang mampu bersaing di pentas dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Padang dan Penaiktarafan Kemudahan Fasiliti Stadium Hoki MBDK di Kompleks Sukan Pandamaran, di sini.

Iklan

Abd Hamid berkata, lebih membanggakan apabila stadium berkenaan menerima pensijilan FIH bagi tempoh tiga tahun bermula 3 Julai lalu, sekali gus mengesahkan ia memenuhi piawaian antarabangsa.

Katanya, pengiktirafan tersebut membolehkan Stadium Hoki MBDK menjadi venue penganjuran kejohanan hoki bertaraf dunia selain memenuhi keperluan penyiaran televisyen secara langsung.

“Selain dilengkapi padang sintetik jenis Poligras Platinum, stadium ini turut mempunyai papan skor elektronik dan sistem lampu limpah berkualiti tinggi yang memenuhi spesifikasi pertandingan antarabangsa.

“Stadium ini mampu menampung sehingga 1,300 penonton serta menyediakan 160 petak parkir, sekali gus memperkukuh hasrat menjadikan Bandar Diraja Klang sebagai hab penganjuran hoki bertaraf kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.