Ubat kurus suntikan bukan jalan pintas, perlu pemantauan doktor

Iklan
Dr Mohd Azman

KOTA BHARU – Pengambilan ubat kurus termasuk kaedah suntikan bagi tujuan menurunkan berat badan tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya tanpa penilaian serta pemantauan doktor bertauliah.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, rawatan pengurusan berat badan sama ada melalui suntikan atau penggunaan ubat secara oral perlu disesuaikan mengikut keadaan kesihatan setiap individu.

Iklan
Iklan

“Rawatan perlu dipantau oleh profesional kerana ia perlu disesuaikan dengan keadaan kesihatan individu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-21 Kolej Pakar Patologi, Akademi Perubatan Malaysia 2026 di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Dr Mohd Azman berkata, masyarakat tidak seharusnya mengambil ubat kurus hanya berdasarkan promosi atau cadangan daripada sumber tidak sahih kerana setiap individu mempunyai keadaan kesihatan berbeza.

Iklan

“Penggunaan ubat kurus tanpa pemantauan boleh mendatangkan risiko, terutama apabila pengguna mendapatkan produk daripada sumber tidak diketahui termasuk menerusi platform dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) memantau promosi dan penjualan ubat kurus dalam talian dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan produk yang ditawarkan mematuhi peraturan ditetapkan.

Iklan

“Pihak farmasi boleh mengambil tindakan terhadap penjualan ubat yang tidak mematuhi peraturan dan MCMC boleh menurunkan promosi yang melanggar ketetapan,” katanya.

Berdasarkan amaran KKM, pengambilan produk kurus tidak berdaftar atau dicemari sibutramine boleh meningkatkan risiko kesan serius termasuk serangan jantung, strok dan peningkatan tekanan darah.

Pengguna dinasihatkan menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman web Agensi Regulatori Farmasi Negara sebelum mengambil sebarang ubat atau suplemen berkaitan penurunan berat badan.