KUANTAN - Fenomena luar biasa dengan cahaya kebiruan atau blue tears yang menghiasi permukaan laut di Pantai Tembeling di sini pada waktu malam menarik perhatian orang ramai selepas tular di media sosial.
Tinjauan mendapati pantai berkenaan menjadi tumpuan pengunjung sejak beberapa hari lepas, dengan orang ramai daripada pelbagai peringkat umur tidak melepaskan peluang menyaksikan sendiri fenomena itu dan merakam gambar serta video.
Kejadian berkenaan didapati mempunyai ciri biopendarcahaya atau bioluminescence, iaitu fenomena semula jadi yang berlaku apabila organisma marin tertentu menghasilkan cahaya melalui tindak balas biokimia.
Perkara itu dikongsi Pakar Bioteknologi dan Biokimia Profesor Madya Dr Nina Suhaity Azmi yang turut memaklumkan secara umumnya fenomena berkenaan terjadi apabila berlaku peningkatan sementara populasi organisma marin yang mampu menghasilkan cahaya khususnya dinoflagelat.
Pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi Industri Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu berkata, keadaan berkenaan dipengaruhi oleh gabungan beberapa faktor seperti suhu air, kandungan nutrien, keadaan arus, pasang surut dan kestabilan persekitaran laut.
"Pelbagai hidupan marin dan mikrob mempunyai keupayaan menghasilkan cahaya sendiri. Mikroorganisma marin yang dikenali sebagai dinoflagelat, iaitu sejenis fitoplankton yang bersaiz mikroskopik sering dikaitkan dengan fenomena biopendarcahaya,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, katanya, spesies sebenar organisma yang menyebabkan fenomena tersebut perlu dikenal pasti menggunakan kaedah saintifik dengan pensampelan air laut dan analisis makmal adalah antara aktiviti yang perlu dijalankan oleh penyelidik.
Sementara itu, beliau berkata fenomena sama pernah dilaporkan berlaku di beberapa lokasi lain di Malaysia termasuk Kuala Selangor, Selangor, Pulau Pangkor, Perak dan Pulau Langkawi, Kedah serta beberapa kawasan pulau di pantai timur Semenanjung.
Namun, Nina Suhaity berkata kejadian ini tidak berlaku secara berterusan dan kemunculannya sangat bergantung kepada keadaan persekitaran pada sesuatu masa.
"Setiap lokasi juga mungkin melibatkan spesies organisma yang berbeza kerana komuniti plankton dipengaruhi oleh keadaan setempat seperti suhu, arus, nutrien dan faktor oseanografi,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata populasi organisma yang tinggi dan menerima gangguan seperti ombak, percikan air atau pergerakan dalam air akan menghasilkan cahaya berwarna biru kehijauan melalui tindak balas melibatkan sebatian lusiferin dan enzim lusiferase.
"Cahaya tersebut bukan disebabkan oleh pantulan cahaya bulan atau pencemaran, tetapi merupakan hasil proses biologi yang berlaku secara semula jadi. Dari perspektif evolusi, pancaran cahaya ini dipercayai merupakan antara mekanisme pertahanan diri bagi organisma tersebut terhadap pemangsa,” katanya.
Beliau berkata biopendarcahaya merupakan sumber cahaya biologi yang sangat penting dalam persekitaran marin, khususnya di zon laut dalam yang menerima sedikit atau tiada cahaya matahari dengan fenomena ini juga bertambah menyerlah pada waktu malam yang tiada cahaya bulan.
"Ketika keadaan laut lebih tenang dan cuaca baik, peluang untuk melihat fenomena ini adalah lebih tinggi. Bagaimanapun, setakat ini berdasarkan pemerhatian, tidak terdapat musim khusus yang boleh menjamin kemunculan fenomena ini,” katanya.
Dalam pada itu, Nina Suhaity memaklumkan cahaya daripada fenomena biopendarcahaya secara umumnya tidak membahayakan manusia kerana hanya terhasil melalui tindak balas biologi dalam organisma tersebut.
"Namun, masyarakat perlu memahami bahawa biopendarcahaya tidak sama dengan fenomena ledakan alga berbahaya atau Harmful Algal Bloom (HAB). Tidak semua organisma yang menghasilkan cahaya menghasilkan toksin dan tidak semua ledakan alga menyebabkan cahaya.
"Oleh itu, kewujudan cahaya biru di laut tidak boleh dijadikan satu-satunya penanda bahawa air tersebut selamat atau berbahaya. Sekiranya berlaku perubahan luar biasa seperti kematian ikan, perubahan warna air yang ketara atau bau yang tidak normal, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan,” katanya. - Bernama