WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump secara rasmi meluluskan perjanjian bersejarah dengan Arab Saudi yang akan membolehkan negara itu membangunkan program tenaga nuklear awam, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik The Wall Street Journal pada Selasa.
Akhbar itu yang memetik pegawai AS melaporkan bahawa perjanjian berkenaan dijangka berkuat kuasa selama 30 tahun dan bernilai puluhan bilion dolar.
Menurut laporan itu, perjanjian berkenaan dirangka bagi memberikan syarikat AS peranan utama dalam pembangunan infrastruktur nuklear Arab Saudi, sekali gus mengehadkan penglibatan pesaing asing.
Antara komponen utama perjanjian itu ialah kemungkinan syarikat AS membina loji pengayaan uranium di Arab Saudi sekiranya penilaian bersama Washington dan Riyadh mendapati langkah berkenaan wajar dilaksanakan.
Laporan itu menyebut perjanjian berkenaan turut memberikan AS peranan dalam memantau aspirasi nuklear Arab Saudi, yang menurut pegawai pentadbiran Trump dapat membantu mengelakkan program itu daripada digunakan bagi pembangunan senjata.
Bagaimanapun, perjanjian yang dijangka dikemukakan kepada Kongres untuk penelitian dalam beberapa hari akan datang berkemungkinan mendapat tentangan anggota Parlimen yang bimbang terhadap peluasan keupayaan nuklear di Asia Barat yang sedia berdepan ketidakstabilan. - Bernama