GUA MUSANG – Dua lelaki etnik Rohingya bertindak melarikan diri dengan membuat pusingan U menggunakan kereta yang dinaiki sebaik menghampiri pemeriksaan polis di Kilometer 9, Jalan Gua Musang–Kuala Lipis di sini pada Selasa.
Dua suspek berusia 36 dan 32 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas selepas kereta Proton Preve yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah lori dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis menjalankan pemeriksaan rawak menerusi Ops Tapis Bersepadu.
Menurutnya, polis bertindak segera mengejar kenderaan tersebut dengan bantuan anggota dari Balai Polis Bertam.
“Kereta suspek akhirnya terbabas dan melanggar sebuah lori di Kampung Kuala Lah berhampiran simpang tiga Jerek-Meranto sebelum kedua-dua mereka berjaya ditahan.
“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg silang mengandungi bungkusan plastik berisi 6,000 pil disyaki dadah jenis pil kuda dianggarkan bernilai RM60,000,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah Proton Preve, lima unit telefon bimbit dan satu kunci kereta bagi membantu siasatan.
Turut dirampas satu kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Hanya satu kad UNHCR dijumpai dan siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku memiliki dadah tersebut.
“Mereka juga didapati positif methamphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing,” katanya.
Menurut beliau, seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman berat jika disabitkan kesalahan, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sik Choon Foo berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah serta individu lain yang terlibat.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah bagi membantu usaha membanteras aktiviti berkenaan.