IPOH – Projek Wakaf Dobi di Masjid Muhibbuddin Shah di sini bukan sahaja memudahkan urusan musafir dan masyarakat setempat malah turut menjadi sumber pendapatan baharu kepada masjid menerusi konsep wakaf yang mampan.
Imam 1 Masjid Muhibbuddin Shah, Mohamad Nasir Hassan berkata, kemudahan mesin dobi layan diri itu memberi manfaat kepada penghuni 10 unit Kamar Musafir yang disediakan di masjid berkenaan selain pelajar institusi pengajian tinggi berhampiran dan penduduk sekitar.
Menurutnya, sebelum ini penghuni Kamar Musafir terpaksa menggunakan perkhidmatan dobi di luar kawasan namun kini segala urusan mencuci pakaian dapat dilakukan dengan lebih mudah di lokasi sama.
“Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Selain memudahkan musafir, projek ini turut membantu menjana ekonomi masjid.
“Purata jumlah kutipan yang diperoleh ketika ini sekitar RM3,000 sebulan. Selepas ditolak kos utiliti, penyelenggaraan dan pengurusan, baki hasil tersebut digunakan bagi membantu pengurusan masjid,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Noraizad Rosli berkata, projek berkenaan merupakan antara inisiatif di bawah Dana Wakaf Perak Ar-Ridzuan (WAPAR) menerusi teras ekonomi.
Beliau berkata, konsep wakaf yang dilaksanakan membolehkan hasil kutipan diagihkan mengikut peratusan tertentu bagi tujuan penyelenggaraan, pengurusan masjid serta dikembalikan kepada dana wakaf untuk membiayai lebih banyak projek pada masa depan.
“Ini bukan sekadar projek perniagaan dobi, tetapi juga projek wakaf yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat, masjid dan penyumbang wakaf.
“Selagi kemudahan ini digunakan orang ramai, pahala wakaf itu akan terus mengalir kepada penyumbangnya,” katanya.
Menurutnya, idea mewujudkan projek tersebut tercetus selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan supaya kemudahan lebih selesa disediakan kepada ahli keluarga pesakit dan mangsa tragedi yang menunggu di hospital.
Katanya, projek rintis itu dilaksanakan di Masjid Muhibbuddin Shah kerana telah mempunyai Kamar Musafir sekali gus melengkapkan keperluan penginapan dengan kemudahan dobi.
Beliau berkata, projek bernilai lebih RM240,000 itu dilengkapi lapan mesin iaitu empat mesin basuh dan empat mesin pengering, selain jawatankuasa masjid turut diberi latihan pengurusan dan penyelenggaraan bagi memastikan operasi berjalan lancar.
Noraizad berharap kejayaan projek perintis itu dapat meningkatkan keyakinan masyarakat untuk terus berwakaf sekali gus membolehkan lebih banyak projek berimpak tinggi dilaksanakan di seluruh Perak.
Inisiatif dilaksanakan MAIPk itu selari dengan Prinsip Pertama di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Keseimbangan Pembangunan Fizikal dan Sosioekonomi.