KLANG – Sebuah gudang penyimpanan perkakasan dan barangan binaan berhampiran sebuah restoran di Batu Belah di sini musnah dalam kebakaran pada Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.45 tengah malam.
Iklan
Iklan
"Seramai 19 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara serta bantuan BBP Klang Selatan bersama jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh dua kilometer," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ashrul Riezal berkata, pihaknya tiba di lokasi empat minit kemudian, mendapati kebakaran membabitkan sebuah gudang yang menyimpan pelbagai barangan perkakasan termasuk cat, lampu LED serta barangan plastik.
"Anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang tiga ratus kaki.
"Sumber air diperoleh daripada pili bomba dan jentera tangki air bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak," katanya.