SELEPAS melalui pelbagai cabaran dalam karier termasuk kecederaan serius dan episod sukar bersama kelab terdahulu, penantian Hadi Fayyadh Abdul Razak akhirnya berbaloi apabila penyerang itu menerima panggilan sulung menyertai skuad Harimau Malaya.
Pemain berusia 25 tahun itu mengakui hampir menitiskan air mata sebaik mengetahui namanya disenaraikan bagi mengikuti kem latihan pusat menjelang kempen Piala ASEAN 2026.
Hadi Fayyadh yang kini beraksi bersama kelab Jepun, Vencedor Mie United Club menyifatkan peluang itu sebagai penghargaan terbesar dalam kariernya selepas sekian lama memasang impian untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Katanya, kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe amat bermakna selepas beliau mengharungi pelbagai cabaran sebagai pemain profesional, termasuk isu tunggakan gaji ketika bersama PDRM FC serta kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada 2021.
"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada coach Tan Cheng Hoe kerana memberikan kepercayaan kepada saya. Saya mahu membalas kepercayaan itu dengan memberikan yang terbaik.
"Ini satu detik yang sangat membanggakan dalam karier kerana sentiasa menjadi impian saya untuk bermain bersama pasukan kebangsaan, lebih-lebih lagi apabila menerima panggilan pertama," katanya selepas sesi latihan skuad kebangsaan.
Bekas pemain skuad Bawah 23 (B-23) negara pada Sukan SEA 2021 di Vietnam itu berkata, keputusan meninggalkan Malaysia dan berjauhan dengan keluarga untuk berhijrah ke Jepun bukan sesuatu yang mudah, namun langkah itu perlu diambil demi memastikan impiannya sebagai pemain profesional terus berkembang.
Menurutnya, pengalaman beraksi di luar negara banyak membantu dirinya dari segi mental dan fizikal, selain memberi keyakinan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
Bagi kempen Piala ASEAN 2026 yang bermula Jumaat ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Thailand dan Filipina.
Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.