PIALA Dunia 2026 sudah melabuhkan tirai, namun kesannya mula dirasai beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Arsenal muncul pasukan paling terjejas selepas kejohanan yang berlangsung selama enam minggu di Amerika Utara itu.
Berdasarkan penilaian impak yang mengambil kira jumlah pemain terlibat, minit permainan, kecederaan serta tempoh pemain kembali ke kelab, The Gunners berada dalam kedudukan paling berisiko berdepan gangguan menjelang musim baharu.
Arsenal menghantar 13 pemain ke Piala Dunia dengan sebahagian besar daripadanya adalah tonggak utama pasukan.
Situasi itu diburukkan apabila beberapa pemain penting seperti William Saliba, Bukayo Saka dan Declan Rice berdepan isu kecergasan sepanjang kejohanan.
Kebimbangan terbesar pengendali Arsenal, Mikel Arteta bukan hanya jumlah masa permainan yang dilalui pemain, tetapi kesan fizikal selepas melalui kempen panjang di pentas antarabangsa sebelum kembali menjalani persiapan bersama kelab.
Berbanding Manchester City yang menghantar pemain paling ramai ke Piala Dunia dengan 16 wakil, skuad kendalian Enzo Maresca dilihat lebih bersedia menyerap kesan kejohanan itu berikutan 'depth' pasukan yang lebih kukuh.
City merekodkan jumlah minit permainan tertinggi dalam kalangan kelab EPL dengan 5,595 minit, namun hampir mengelakkan kehilangan pemain utama akibat kecederaan serius.
Situasi berbeza buat Aston Villa yang berdepan kehilangan besar selepas pemain tengah Belgium, Amadou Onana mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) yang berpotensi menyingkirkannya untuk sebahagian besar musim.
Manchester United turut tidak terlepas daripada kesan Piala Dunia apabila Manuel Ugarte mengalami kecederaan sebelum Uruguay tersingkir, manakala rekrut baharu mereka, Youri Tielemans mengalami masalah hamstring.
Selain kecederaan, tempoh rehat wajib tiga minggu yang ditetapkan FIFA selepas kejohanan turut menjadi cabaran buat pengurus apabila masa persiapan pramusim menjadi semakin singkat.
Ketiadaan pemain utama pada fasa awal latihan boleh menjejaskan proses membina keserasian, menguji taktikal baharu serta membantu pemain baharu menyesuaikan diri sebelum saingan Liga Perdana bermula.
Jika Arsenal perlu mengharungi permulaan musim tanpa barisan terbaik, kelab seperti Coventry, Hull City dan Brighton pula berpeluang mendapat kelebihan awal kerana memiliki skuad lengkap sejak awal pramusim.